Dua cedera luncur layar terhempas
KOTA KINABALU - Seorang peluncur layar dan seorang wanita warganegara China cedera selepas luncur layar yang dinaiki terhempas semasa melakukan aktiviti berkenaan di Kompleks Sukan Ranau hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, mangsa, Yusof Mamat, 48, terseliuh kaki kanannya manakala penumpangnya seorang wanita warganegara China, Zhau Ting, 28, patah di bahagian paha kanan.
Kenyataan itu menyebut, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 2.24 petang dan tujuh anggota dari balai Ranau dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kedua-dua mangsa telah diberi rawatan awal dan dibawa dengan menggunakan pengusung ke laluan utama sejauh empat kilometer.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Ranau dengan menggunakan jentera kecemasan EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut. Operasi tamat jam 3.35 petang,” kata agensi itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!