Dua lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan di Sungai Kelantan di sini pada Rabu.
Kejadian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini.
Kejadian kedua, melibatkan seorang nelayan sungai, Saidi Che Hassan, 51, yang dipercayai tercampak ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Hutan Hilir, Tumpat akibat terkena galah enjin apabila bot dinaikinya berhenti secara mengejut akibat kipas tersangkut pada sauh.
Jarak kedua-dua lokasi kejadian melibatkan dua mangsa terbabit hanya empat kilometer.
Anak sulung kepada Saidi, Saidatul Nur Hanisa, 18, berkata, sudah menjadi rutin harian bapanya turun ke sungai untuk menahan bubu bagi menangkap anak udang yang dijual sebagai umpan memancing.
"Pagi ini ayah sempat kejutkan saya bangun dari tidur. Itulah kali terakhir saya melihatnya sebelum dikejutkan dengan kejadian ini.
"Biasanya ayah akan keluar ke sungai bersama rakan namun hari ini mereka keluar berasingan sekitar jam 9 pagi seorang diri," katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian di Kampung Kutan Hilir, Tumpat pada Rabu.
Menurutnya, Saidi akan menahan bubu setiap pagi dan mengangkatnya pada sebelah petang.
Saidatul Nur Hanisa berkata, dia dan dua lagi adiknya berusia 17 dan sembilan tahun serta ibu, Zuhaidah Mohd Salleh, 44, tidak lekang berdoa agar bapanya selamat ditemui.
Dalam pada itu, rakan Saidi, Zulkarnain Shafie, 33, memberitahu, hari ini dia keluar berasingan dengan rakannya itu.
Katanya, semasa sedang memasang bubu, pekerja di pangkalan pasir berhampiran lokasi kejadian memberitahunya Saidi tiada di bot.
"Apabila melihat bot, terdapat percikan darah serta keadaan tong penyimpanan ais yang pecah seakan-akan dihempap benda keras, saya boleh bayangkan Saidi telah tercampak ke dalam sungai.
"Ini kerana sebelum ini sudah dua kali enjin botnya berhenti mengejut disebabkan tersangkut sauh sehingga menyebabkan Saidi tersungkur akibat terkena galah enjin itu," katanya yang telah empat tahun bersama Saidi mencari anak udang untuk dijadikan umpan memancing.
Sementara itu, bagi kejadian di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, saksi kejadian, Asmadi Deraman, 50, berkata, dia sempat melihat mangsa terkapai-kapai di dalam sungai tersebut selepas terjatuh dari jambatan terbabit sekitar jam 10 pagi.
Ujarnya, ketika itu, sudah ada orang awam berhenti dan sempat menegur lelaki itu sebelum mangsa terjatuh ke dalam sungai.
“Saya sempat melihat mangsa dalam keadaan terkapai-kapai di dalam sungai sebelum hilang dibawa arus,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersama pasukan keselamatan lain sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di sekitar kawasan kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!