Saifuddin nafi pengurusan tertinggi FAM bakal jadi sasaran serangan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal jadi sasaran serangan.
"Tidak," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Santapan Rumah Terbuka Madani Aidilfitri, di sini pada Rabu.
Menurutnya, beliau akan menziarahi tonggak Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim yang sedang menerima rawatan akibat disimbah asid.
"Saya cuma nak pergi jumpa faisal sahaja kejap lagi," ujar Saifuddin.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya sedang mengenal pasti pemilik media sosial yang dikenali Muhammad Imran Suresh.
Ia susulan kenyataan lelaki terbabit yang didakwa mempunyai maklumat berkaitan mengenai kejadian simbah asid membabitkan Faisal.
Sejak Selasa, seorang pemilik laman sosial Instagram itu mendakwa dia telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes melibatkan Faisal.
Pemilik akaun media sosial itu mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut mendedahkan mengenai kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan.
Sementara itu, menerusi hantaran di laman sosial, Saifuddin meminta semua pihak memberi kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM untuk menyiasat kes tersebut. "Saya yakin pihak polis sudah menjalankan siasatan yang terperinci berhubung insiden ini," ujarnya.
Minggu ini, negara dikejutkan tiga serangan terhadap pemain bola Kebangsaan membabitkan Akhyar Rashid, Faisal Halim dan terbaharu Safiq Rahim. Kesemua mereka diserang selang dua hari dari kejadian masing-masing.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!