Ambil duit suami senyap-senyap boleh ke?

DIBENARKAN untuk mengambil duit daripada suami yang culas menyediakan nafkah kepada isteri dan anaknya. Foto Canva
DIBENARKAN untuk mengambil duit daripada suami yang culas menyediakan nafkah kepada isteri dan anaknya. Foto Canva
A
A
A

BAGI seorang suri rumah, menyediakan juadah makan untuk keluarga kadangkala memerlukan kos yang perlu dikeluarkan.

Sekiranya suami ada memberikan belanja ‘duit dapur’, bolehlah digunakan wang tersebut untuk membeli barangan mentah.

Namun jika pasangan itu culas dan jarang-jarang memberikan duit belanja, apakah isteri dibolehkan untuk mengambil duit suami secara senyap-senyap?

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah, Ustazah Asma’ Harun terlebih dahulu menjelaskan, wajib bagi suami memberi nafkah buat isteri dan anaknya.

USTAZAH ASMA' HARUN
USTAZAH ASMA' HARUN

“Menurut Al-Fiqh al-Manhaji, kadar nafkah makanan asasi adalah dua cupak bagi mereka yang berkemampuan, satu setengah cupak bagi mereka yang sederhana dan satu cupak bagi mereka yang fakir.

“Begitu juga lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak,” jelasnya dalam Facebook miliknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seorang isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suaminya sepertimana kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, maka ia sudah dikira sebagai nafkah dan disebut sebagai nafkah kecukupan.

Merujuk kepada kitab Mughni al-Muhtaj, tujuh keperluan nafkah yang wajib disediakan suami:

1 - Makanan.

2 - Barang-barang dapur.

3 - Pakaian.

4 - Tempat tinggal.

5 - Alat-alat untuk membersihkan diri.

6 - Barangan rumah

7 - Pembantu kepada isteri jika kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).

Katanya lagi, berdasarkan satu kisah Rasulullah SAW pernah diberitahu: “Wahai Rasulullah, Sesungguhnya Abu Sufyan itu lelaki yang sangat kedekut. Beliau tidak memberi aku dan anakku perbelanjaan (nafkah) yang cukup melainkan apa yang aku ambil daripadanya dalam keadaan dia tidak tahu.

Lalu Baginda bersabda: “Ambillah (daripada hartanya) sekadar untuk memenuhi keperluan kamu dan anakmu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Pendakwah itu menerangkan sekiranya seorang suami memberi nafkah yang mencukupi buat isterinya tanpa mengambil mudah tanggungjawab dan keperluan asas isi rumah, maka isteri tidak dibenarkan mengambil duit suami.

“Sekiranya tidak, maka dibolehkan mengambil duit suami untuk mencukupi kadar seharian.

“Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:

“Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya atas sesiapa yang berada di bawah jagaannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sebagai penutup, Ustazah Asma’ menyimpulkan suami wajib memberikan nafkah buat isteri berdasarkan kemampuan ekonomi keluarga dan isteri boleh mengambil duit suami jika dia culas dengan tanggungjawab.

Bagaimanapun timbul persoalan lain, apa pula hukum suami yang mengambil duit isteri tanpa meminta izin terlebih dahulu?

Menjawab persoalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, suami yang sepatutnya memberi nafkah kepada isteri.

TIDAK wajar suami mengambil duit isteri tanpa meminta izin terlebih dahulu. Foto Canva
TIDAK wajar suami mengambil duit isteri tanpa meminta izin terlebih dahulu. Foto Canva

“Antara hikmah ALLAH memberi tanggungjawab kepada lelaki supaya memberi nafkah kepada isterinya adalah agar rasa kasih sayang, penghormatan dan cinta isteri menjadi subur sehingga melahirkan mahabbah, mawaddah dan sakinah dalam melayari bahtera kehidupan. Inilah yang kita dambakan.

“Kami tegaskan tidak sewajarnya suami mengambil harta isteri tanpa izinya.

"Walaupun begitu, binalah rumah tangga yang bersifat toleransi, kasih sayang dan tolong-menolong agar kebahagiaan sentiasa menyinari kehidupan rumah tangga,” jelasnya dalam artikel Al-Kafi #1169: Hukum suami ambil duit isteri tanpa izin yang disiarkan dalam laman web jabatan berkenaan.

BINALAH rumah tangga yang bersifat toleransi, kasih sayang dan tolong-menolong agar kebahagiaan sentiasa menyinari kehidupan rumah tangga. Foto Pexels
BINALAH rumah tangga yang bersifat toleransi, kasih sayang dan tolong-menolong agar kebahagiaan sentiasa menyinari kehidupan rumah tangga. Foto Pexels

Bagaimanapun katanya, isu nafkah tidak boleh dipandang enteng oleh suami sekalipun isterinya mampu, kaya dan berkerjaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!