Kerajaan dicadang tetap kadar gaji minimum pada RM2,102 - Pakar ekonomi
KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadangkan supaya menyemak semula dan menetapkan kadar gaji minimum pada RM2,102 untuk golongan pekerja di negara ini.
Pakar Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, saranan itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama melibatkan keperluan masyarakat masa kini termasuk dari segi kos sara hidup, pendapatan garis kemiskinan, gaji penengah dan produktiviti.
“Gaji minimum semasa ialah RM1,500. Jika kita menggunakan kaedah yang sama seperti yang digunakan oleh kerajaan dalam mengira gaji minimum, gaji minimum terkini sekurang-kurangnya adalah RM2,100.
“Tahap gaji minimum baharu ini adalah lebih rendah berbanding penetapan wajar yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu sebanyak RM2,700 sebulan,” katanya dalam pelancaran Laporan Dapatan Utama Ranjau Sepanjang Jalan di UNICEF Malaysia, Wisma E&C, Bukit Damansara pada Rabu.
Turut hadir dalam program berkenaan adalah Ketua Dasar Sosial Unicef Malaysia, Dr Juanita Vasquez Escallon dan Timbalan Ketua Penyelidik DM Analytics, Dr Zouhair Rosli.
Ujar Muhammed yang juga ketua perunding untuk kajian tersebut, penetapan gaji minimum itu merupakan salah satu daripada cadangan dasar yang dibentangkan menerusi laporan yang menggariskan tinjauan berulang tentang impak kos sara hidup pasca pandemik terhadap isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.
Menurutnya, saranan lain turut melibatkan peruntukan elaun penjagaan untuk semua kanak-kanak, elaun orang kurang upaya (OKU), memperkukuhkan bantuan sosial, meningkatkan kesedaran kesihatan seksual, reproduktif dan kesejahteraan mental serta menambah baik perlindungan sosial.
Sementara itu, ulas beliau, kajian juga mendapati lebih kurang 40 peratus daripada keseluruhan isi rumah menyatakan lebih mengutamakan kadar gaji dan upah yang lebih tinggi.
“Kedua, harga barang yang lebih stabil dan sumbangan tunai rahmah harus diperluaskan. Itu yang mereka perlukan.
“Manakala apa yang tak perlu adalah pemberian subsidi termasuk subsidi petrol. Hanya tujuh peratus yang kata, bantuan subsidi itu bagus.
“Itu betul kerana hampir 1 dari 4 golongan B40 tidak mempunyai kereta, jadi sama ada harga petrol subsidi RM1.20 atau RM3.20 sekali pun, bagi mereka ianya kurang bermakna berbanding gaji yang lebih adil,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!