Akaun Instagram Muhammad Imran Suresh palsu - JSJ
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan akaun Instagram yang menggunakan nama Muhammad Imran Suresh dan mengeluarkan kenyataan spekulasi berhubung kejadian simbah asid kepada pemain tonggak Selangor FC, Faisal Halim adalah palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya kini sedang memantau perkembangan kes ini dan siasatan sedang giat dilakukan.
"Terdapat portal yang dikenal pasti mengeluarkan berunsur negatif juga dilaporkan palsu.
"Polis pantau kes ini dan kita akan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengenal pasti pemilik-pemilik akaun media sosial ini,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman pada Rabu.
Shuhaily mengingatkan, PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pengendali atau pemilik akaun media sosial yang dipercayai menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan.
"Masyarakat diingat tidak buat spekulasi yang memberi ruang kepada orang berkepentingan untuk mengangguk di air yang keruh," katanya.
Pada Selasa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pihak polis mengesan pemilik akaun media sosial yang membuat serangan peribadi hingga membangkit kebencian terhadap pemain bola sepak tempatan.
Kata Saifuddin, serangan di media sosial itu dilakukan dengan menyasarkan kepada individu pemain bola sepak.
Sejak beberapa hari lalu, akaun yang menggunakan Muhammad Imran Suresh mendakwa dia telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes melibatkan Faisal.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!