TH, MAHB adakan simulasi pastikan keselamatan jemaah haji di KLIA
SEPANG - Bagi memastikan operasi haji dan keselamatan jemaah dalam keadaan baik, Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengadakan satu simulasi latihan pengungsian bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.
Simulasi latihan melibatkan kerjasama pelbagai pihak dengan kekuatan 172 anggota itu antara lain memastikan bakal jemaah haji bersedia dengan sebarang kemungkinan situasi kecemasan dan insiden luar jangka seperti kebakaran bangunan.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air (OHTA) TH, Mohd Zawawi Bostam berkata latihan simulasi berkenaan merupakan rutin yang dilaksanakan setiap tahun menjelang musim haji bagi menguji dan memeriksa prosedur operasi standard (SOP) dan protokol pelan pengungsian sekiranya berlaku sebarang kecemasan ketika bakal jemaah haji berkumpul di KLIA sebelum berlepas ke tanah suci.
"Hasil kerjasama ini (simulasi latihan) dilihat sebagai sebuah agenda nasional iaitu kita perlu bersama-sama menjaga imej negara sebab kita rasa pandangan luar menganggap Malaysia ini sebagai negara contoh.
"Ia satu daripada penambahbaikan untuk kita terus beri ilmu kepada jemaah haji bukan hanya dari segi ibadat, malah ilmu pengurusan keselamatan,” katanya pemberita selepas selesai sesi simulasi kira-kira 45 minit itu pada Rabu.
Pelaksanaan simulasi latihan pengungsian itu adalah berdasarkan Pelan Tindakan Kecemasan OHTA dan Pelan Kecemasan Aerodome iaitu dokumentasi pelan yang dirangka sebagai langkah pengurusan kecemasan dan bencana bagi menyelaras tindakan yang wajar diambil dengan penglibatan unit operasi KLIA, agensi kerajaan dan pihak penerbangan.
Antara pihak terlibat ialah MAHB, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).
Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Mohd Arif Jaafar berkata kerjasama TH dan MAHB dalam pelaksanaan simulasi berkenaan penting memandangkan ia memerlukan koordinasi yang baik daripada setiap agensi yang terlibat.
"Ia juga bertujuan menguji tahap ketersediaan petugas lapangan terbang apabila tiba musim haji dan secara langsung dapat menilai dan menambah baik komunikasi dan koordinasi sesama pasukan,” katanya menambah pihaknya bersedia memberi kemudahan kepada lebih 30,000 jemaah haji yang dijangka mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Kerajaan Arab Saudi telah meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi tahun 1445H/2024 dan kelulusan itu diberikan berdasarkan 0.1 peratus jumlah penduduk Islam di negara ini.
Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula esok (9 Mei), manakala penerbangan terakhir pada 9 Jun 2024. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!