Kebimbangan penghantaran minyak dari Iran, Malaysia sedia bincang dengan AS
PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia bersedia untuk berbincang dengan rakan sejawatan dari Amerika Syarikat (AS) berhubung kebimbangan mengenai dakwaan penghantaran minyak dari Iran yang dikenakan sekatan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga merupakan jurucakap kerajaan berkata, perkara itu dibincangkan secara ringkas dalam mesyuarat kabinet hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, memandangkan perbincangan masih sedang berlangsung,"Saya tidak akan menyentuhnya terlalu mendalam (dan) tidak akan mengulas panjang lebar mengenainya”.
"Kerajaan Malaysia dan kementerian serta agensi masing-masing bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan di AS untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan beberapa kebimbangan yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.
Laporan berita baru-baru ini memetik seorang pegawai Perbendaharaan AS menyatakan kebimbangan terhadap peranan penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di Malaysia dalam penghantaran minyak Iran yang dikenakan sekatan.
Fahmi berkata, isu itu menarik perhatian Perdana Menteri dan kabinet dan kerajaan melihatnya dengan serius.
"Kita ingin menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, pertama sekali, mematuhi sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Menjawab soalan mengenai dakwaan Malaysia menjadi tempat bagi pejuang Hamas mengumpul dana dan memindahkan aset, beliau berkata, "Seperti yang saya nyatakan, apabila berbincang dengan rakan sejawatan kami di AS berhubung isu itu, kami ingin memahami sepenuhnya apakah butiran terperinci yang dirujuk mereka.
"Kita akan meneliti perkara itu," katanya.
Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan, dilaporkan berkata, Setiausaha Rendah Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi keganasan dan risikan kewangan, Brian Nelson dan pasukannya akan berada di Malaysia untuk mengadakan perbincangan berterusan dengan rakan utama mengenai kepentingan tindak balas global terhadap ancaman kritikal. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!