Sawah di tengah kota bukan halangan kemajuan

Industri pertanian dan makanan itu bukan sahaja mampu menyumbang dari segi pengeluaran makanan serta peluang pekerjaan, namun merangkumi faedah pembangunan modal insan, sosial dan alam sekitar. (Gambar kecil: Fatimah)
Industri pertanian dan makanan itu bukan sahaja mampu menyumbang dari segi pengeluaran makanan serta peluang pekerjaan, namun merangkumi faedah pembangunan modal insan, sosial dan alam sekitar. (Gambar kecil: Fatimah)
A
A
A

SHAH ALAM - Kawasan tanah sawah yang terletak berhampiran atau di tengah kota seperti Alor Setar, Kedah dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang perlu dikekalkan kerana ia tidak menjadi beban atau halangan kemajuan berikutan kepelbagaian fungsinya.

Felo Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, industri pertanian dan makanan itu bukan sahaja mampu menyumbang dari segi pengeluaran makanan serta peluang pekerjaan, namun merangkumi faedah pembangunan modal insan, sosial dan alam sekitar.

Menurutnya, terdapat lapan faedah kawasan tanah sawah iaitu pertama berfungsi sebagai penyaman udara, alam sekitar serta landskap kerana mampu mengurangkan pengeluaran karbon monoksida dalam kota.

Kedua katanya, ia mampu meningkatkan pendapatan petani berikutan ada pengguna berhampiran merangkumi penduduk boleh membeli beras segar dari sawah dan mereka juga mengetahui mengenai baja serta input yang digunakan.

“Ketiga, beras yang dijual secara terus ini dapat mengurangkan jejak karbon kerana tidak memerlukan pengangkutan seperti lori manakala faedah keempat, memberi peluang pendidikan dan kesihatan kepada pesawah serta anak-anaknya apabila berhampiran dengan kota.

“Seterusnya, kelima, sawah di kota ini mirip dengan konsep perkebunan komuniti bandar iaitu penduduk membeli sayur dan buah dari kebun berdekatan bandar. Keenam pula merangkumi sampah organik seperti sisa bahan makanan dan biojisim dari kota dikitar semula menjadi baja untuk kegunaan sawah.

“Selain itu, sawah juga menjadi sumber pembelajaran kepada anak-anak untuk mereka memahami persawahan, secara tidak langsung menanam keprihatinan serta penghayatan kepada tanaman dan yang terakhir, ia satu gabungan unik untuk pelancongan dan rekreasi,” katanya pada Rabu.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan negeri itu kehilangan peluang pendapatan kira-kira RM100 juta setahun di kawasan tanah sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang boleh dibangunkan untuk tujuan industri, komersial dan perumahan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kira-kira 10,000 hektar tanah sawah MADA telah dimasukkan di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) di daerah-daerah untuk pembangunan perumahan, 400 hektar bagi tujuan industri dan beberapa hektar lagi komersial.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu bukan sahaja tipis, namun menunjukkan keterbatasan fahaman mengenai kepelbagaian fungsi industri pertanian dan makanan.

“Konsep sawah di tengah kota adalah normal di beberapa negara besar dan maju seperti Jepun, Taiwan, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Ada pihak yang tidak menyenangi dan gusar bahawa sawah di pinggir kota merugikan kerana kononnya nilai tanah ini tinggi terutama apabila ditukar kepada kawasan perindustrian, perkilangan dan perumahan.

“Kayu ukuran pulangan ke atas pelaburan digunakan untuk menilai usaha membandarkan atau mengindustrikan kawasan sawah ini sangat sempit dan tidak berwawasan panjang,” ujarnya.

Tambah Fatimah, ukuran itu akan memberikan impak iaitu kota dipenuhi dengan bangunan pencakar langit, kawasan perumahan yang padat dan sesak serta mendatangkan kesan serius terhadap alam sekitar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!