Guna kelengkapan komunikasi tidak diperakui, usahawan didenda RM80,000
PUTRAJAYA - Seorang usahawan didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam kerana menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui yang menyebabkan gangguan serius ke atas perkhidmatan rangkaian dan selular milik syarikat telekomunikasi tempatan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan mahkamah membuat keputusan itu selepas lelaki berusia 36 tahun terbabit mengaku bersalah bagi empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya oleh suruhanjaya berkenaan.
Menurut MCMC, usahawan itu didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu SMS Blaster, masing-masing di Kondominium Memoire Suites, Dua Central dan EkoCheras, Kuala Lumpur.
"Bagi dua lagi pertuduhan, Orang Kena Saman (OKS) didakwa di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 kerana menggunakan SMS Blaster itu dan telah menyebabkan gangguan ke atas perkhidmatan rangkaian dan selular milik syarikat telekomunikasi yang berlesen," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut bagi kesemua pertuduhan, lelaki itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan Bahagian Penguatkuasaan MCMC mendapati modus operandi yang dijalankan usahawan itu adalah dengan memasang peranti SMS Blaster bersama antena di unit-unit kondominium yang bersebelahan dengan lebuh raya."SMS Blaster itu telah diubah suai menjadi stesen transceiver asas yang palsu dan apabila telefon bimbit orang awam melalui berdekatan SMS Blaster tersebut, perkhidmatan rangkaian dan selular 4G akan terganggu dan turun ke perkhidmatan 2G setelah bersambung dengan rangkaian palsu itu.
"Kesannya, orang awam mula menerima mesej-mesej iklan seperti iklan perkhidmatan pinjaman wang, iklan aktiviti perjudian dan sebagainya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut aktiviti haram tersebut turut mengakibatkan masalah panggilan terputus serta kualiti perkhidmatan internet yang kurang memuaskan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!