PRK Kimanis: Warisan sedikit mendahului BN

Petugas kempen Warisan memasang bendera gergasi parti itu sebagai bahan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pekan Kimanis. - Foto Bernama Gambar kecil: Wan Mat
Petugas kempen Warisan memasang bendera gergasi parti itu sebagai bahan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pekan Kimanis. - Foto Bernama Gambar kecil: Wan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dilihat mampu merampas kerusi PRK Kimanis daripada Barisan Nasional (BN) esok.

Dalam dapatan sebuah badan kaji selidik, Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), calon Warisan itu ketika ini dilihat mendahului calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, walaupun didapati Karim sedikit di hadapan, Mohamad masih berpeluang membuat kejutan kerana ramai pengundi masih belum membuat keputusan.

Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan beberapa penemuan daripada kaji selidik bebas bertajuk ‘Kaji Selidik Mengenai Kecenderungan Pengundi dalam PRK P176 Kimanis’ yang dilakukan secara tatap muka selama enam hari bermula 10 Januari lalu.

Katanya, kajian lapangan itu melibatkan 297 responden atau satu peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar PRK Kimanis, iaitu 29,664 pengundi.

"Jumlah 297 responden ini mewakili semua kaum, umur dan jantina berdasarkan jumlah seluruh pengundi yang dijalankan di semua 19 daerah mengundi di Kimanis.

"Dapatan kajian mendapati calon Warisan mempunyai sedikit kelebihan berbanding calon BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Warisan ada sedikit kelebihan

Menurut Wan Mat, kaji selidik mendapati 44.78 peratus responden mengatakan Warisan berjaya melaksanakan manifestonya di Sabah, manakala 44.11 peratus responden mengatakan kehidupan mereka bertambah baik selepas Warisan memerintah Sabah dan Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kajian TSIS juga mendapati 39.06 peratus responden menyatakan Warisan adalah parti yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, termasuk dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) dan 39.06 peratus responden menyatakan calon Warisan adalah calon yang paling mereka senangi.

Kajian turut menemukan 39.05 peratus responden menyatakan PH berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia dan 39.05 peratus responden menyatakan rakyat Sabah dilayan secara adil oleh kerajaan selain 37.71 peratus responden menyatakan PH adalah pakatan yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun, kelebihan dimiliki calon Warisan ini boleh berubah bila-bila masa bergantung kepada perkembangan di saat akhir menjelang hari pengundian.

"Dalam kaji selidik dijalankan, calon BN masih berpeluang membuat kejutan dalam PRK Kimanis ini kerana ramai pengundi masih belum membuat keputusan memilih calon mana pilihan mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 29,619 pengundi Kimanis mengundi esok

PRK Kimanis: Pengundi dinasihat tidak timbulkan provokasi

Wat Mat berkata, kajian turut mendapati 36.03 peratus responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada PH adalah kerajaan yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia dan seramai 29.63 responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada PH adalah pakatan yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia.

Turut didapati 28.96 peratus responden menyatakan mereka tidak pasti kehidupan mereka bertambah baik selepas Warisan memerintah Sabah dan PH memerintah Malaysia.

Karim bersalaman dan beramah mesra dengan penduduk setempat Kampung Kinolonsodong, Kimanis baru-baru ini. - Foto Bernama
Karim bersalaman dan beramah mesra dengan penduduk setempat Kampung Kinolonsodong, Kimanis baru-baru ini. - Foto Bernama

"Sebanyak 28.62 responden menyatakan tidak pasti sama ada Warisan adalah parti yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah termasuk dalam isu MA 63 atau tidak dan 17.51 peratus responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada PH berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia atau tidak.

"Kajian turut mendapati 16.84 peratus responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada Warisan akan mampu melaksanakan manifesto di Sabah atau tidak dan 16.50 peratus responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada rakyat Sabah akan dilayan secara adil oleh kerajaan atau tidak," katanya.

Calon Warisan turut berdepan dengan masalah

Wan Mat berkata, terdapat tujuh petunjuk dalam kajian itu membayangkan calon Warisan berdepan masalah dalam menghadapi perlawanan dua penjuru ini.

Antaranya 77.10 peratus responden menyatakan pemberian wang, sumbangan dan janji pembangunan tidak akan mempengaruhi undi mereka dengan Warisan ke hadapan dalam perkara ini, sebanyak 64.31 peratus responden menzahirkan tidak setuju dengan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) dan sebanyak 60.27 peratus responden menyatakan mereka paling terpengaruh dengan isu ekonomi di mana mereka bersetuju ekonomi Sabah dan Malaysia tidak berapa pada tahap yang baik.

"Kajian juga mendapati 57.58 peratus responden menyatakan bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman (49.16 peratus) dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (8.42 peratus) adalah tokoh paling berjasa kepada warga Kimanis dan meninggalkan Ketua Menteri Sabah sekarang, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal (19.53 peratus).

"Sebanyak 45.12 peratus responden menyatakan mereka bimbang dengan isu di negeri Sabah dan 32.32 peratus responden menyatakan sikap politik mereka paling dipengaruhi oleh media sosial.

"Laporan kajian turut mendapati 28.62 peratus responden menyatakan Warisan tamak dengan tiga alasan utama diberikan iaitu membolot kerusi pilihan raya, tidak memberikan jawatan kerajaan kepada pemimpin parti-parti komponen dan keutamaan berlebihan diberikan Warisan kepada kaum tertentu sahaja," katanya.

Menurut Wan Mat, walaupun kaji selidik mendapati calon Warisan memiliki sedikit kelebihan berbanding calon BN, peluang mempertahankan kerusi BN tetap ada dengan ramai pengundi masih belum membuat keputusan memilih calon mana.

Walaupun parti-parti komponen BN meninggalkan BN selepas PRU14, PRK Kimanis kali ini memperlihatkan semangat ikatan BN masih kuat dengan kehadiran ramai pemimpin-pemimpin dari Parti Bersatu Sabah (PBS), MCA, Parti Solidariti Tanahairku (STAR), MIC, Parti Maju Sabah (SAPP) termasuklah Pas ketika berkempen, sekali gus bakal menyaksikan pertembungan sengit esok bakal berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!