Penyedia aplikasi Telegram sedia kerjasama banteras isu cetak rompak
KUALA LUMPUR - Penyedia aplikasi Telegram sedia bekerjasama dengan kerajaan dalam membanteras jenayah cetak rompak digital yang berleluasa di platform itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beberapa pertemuan sudah diadakan bagi membincangkan isu itu bersama Telegram dengan kali terakhir pada April lepas.
"Memang itu kita lihat dalam beberapa platform terutama Telegram. Aduan yang kita terima termasuk dari pihak Astro mengenai filem yang dicetak rompak dan diedar melalui platform itu.
"Ini memerlukan kerjasama pihak pengedar, pemilik hak cipta dan badan kawal selia seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan saya harap kita dapat pastikan platform lain juga kita dapat banteras cetak rompak digital,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum tayangan khas filem Sheriff: Narko Integriti di sini malam Rabu.
Terdahulu, isu cetak rompak di aplikasi Telegram kembali hangat diperkata selepas pengarah dan penerbit drama prolifik Shahrulezad Mohameddin meluahkan rasa kecewa apabila naskhah terbaru arahan beliau iaitu Khunsa boleh ditonton di platform itu dengan mudah.
Justeru itu, beliau meminta Kementerian Komunikasi campur tangan melalui agensinya, MCMC bagi membantu menangani apa yang disifatkan sebagai gejala cetak rompak digital.
Fahmi juga berkata pihaknya, menerusi MCMC, memerlukan sedikit masa dalam membanteras isu itu kerana platform yang digunakan bagi melakukan aktiviti cetak rompak digital tidak berpangkalan di Malaysia.
"Mungkin mereka tidak faham beberapa undang-undang di Malaysia. Jadi, pihak MCMC telah mengadakan siri perbincangan (bersama pihak terlibat) dalam isu hak cipta.
"Jadi, saya harap masalah ini dapat dibanteras dengan lebih berkesan tidak lama lagi,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!