Dah macam pengemis pula minta orang bayar hutang
SEDANG leka menelaah laman media sosial, Merak Jalanan terlihat hantaran seorang sahabat. Melihat gaya bahasa digunakan, marah betul nampaknya dia.
“Masa nak pinjam, semua boleh. Bila minta bayar, mesej pun tak balas! Kita minta bayar hutang, bukan sedekah!”
Lebih kurang begitulah seingat Merak Jalanan tulisan rakan yang seorang ini.
Maka berduyun-duyunlah kenalan beliau di alam maya meninggalkan komen.
Ada yang bersimpati, memberi idea cara lebih berkesan untuk mendapatkan semula wang yang dipinjamkan, tapi ada juga yang tidak mahu terbawa-bawa dengan emosi cuba mengusik rakan Merak Jalanan ini.
“Ala, duit kau dah banyak. Sedekah je lah pada dia,” tulis si A.
B pula menambah secara berseloroh: “Aku ke yang hutang ni? Kau masukkan sekali QR Code (Kod QR) dekat sini. Nanti aku bayar... he he.”
Lumrah dalam kehidupan, ada ketikanya kita terpaksa meminta bantuan ahli keluarga dan kenalan apabila mengalami kesulitan termasuklah melibatkan hal kewangan.
Bersyukurlah jika dalam kalangan yang kita kenali, ALLAH SWT hadirkan mereka yang murah hati sanggup menyelami kesusahan dengan menghulurkan bantuan kepada kita.
Orang kata, kawan ketika senang mudah dicari, namun yang sanggup bersusah payah, belum tentu ada.
Simpati Merak Jalanan kepada sahabat lama yang murni hatinya ini. Mungkin dia juga sangat memerlukan, maka wang yang dipinjamkan sebelum ini perlu diminta kembali.
Kepada si peminjam, sudah pasti membayar hutang itu wajib hukumnya. Jangan buat-buat tak tahu pula!
Jika masih belum mampu untuk melunaskan pinjaman, sekurang-kurangnya berilah penjelasan kepada si pemiutang.
Jangan buat orang yang beri pinjam tertunggu-tunggu dan salah sangka dengan tindakan kita mengabaikan panggilan dan mesej dihantar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!