11 tentera AS cedera ketika serangan balas dendam Iran

Anggota tentera AS memeriksa infrastruktur di pangkalan Ain al-Asad di barat Iraq yang musnah dibedil peluru berpandu balistik Iran pada 8 Januari lalu. - Foto Agensi
Anggota tentera AS memeriksa infrastruktur di pangkalan Ain al-Asad di barat Iraq yang musnah dibedil peluru berpandu balistik Iran pada 8 Januari lalu. - Foto Agensi
A
A
A

BAGHDAD - Kira-kira 11 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) cedera ketika serangan balas atas kematian komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani yang dilancarkan ke atas pangkalan tentera yang menempatkan pasukan Amerika di Iraq pada 8 Januari lalu.

Sebelum ini, Washington mendakwa kononnya tiada kecederaan atau kematian dilaporkan ketika insiden pangkalan tentera Ain al-Asad di barat Baghdad dibedil 15 peluru berpandu balistik terbabit.

"Beberapa anggota dirawat kerana menunjukkan simptom konkusi impak daripada letupan misil tersebut. Perkara tersebut masih dinilai," kata jurucakap Pusat Perintah AS (CENTCOM), Kapten Bill Urban.

Ketika kejadian itu, kebanyakan 1,500 anggota AS di pangkalan tersebut dilaporkan berlindung di dalam kubu bawah tanah selepas diberi amaran oleh pegawai atas mereka.

Serangan itu didakwa hanya menyebabkan kemusnahan harta benda di kemudahan terbabit dan turut disahkan Presiden AS, Donald Trump.

Menurut Urban, beberapa anggota terpaksa dipindahkan beberapa hari selepas insiden tersebut.

"Ketika ini, seramai lapan individu dihantar ke Landstuhl manakala tiga lagi ke Kem Arifjan," katanya merujuk kepada Pusat Perubatan Wilayah Landstuhl di Jerman dan Kem Arifjan di Kuwait.

Selain pangkalan Ain al-Asad, pangkalan di Erbil yang menempatkan tentera AS bersama pasukan pakatan antarabangsa untuk operasi bagi memerangi kumpulan militan Daesh turut menjadi sasaran bedilan tujuh misil balistik IRGC.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan kembali semula ke Iraq selepas disahkan sihat untuk bertugas selepas pemeriksaan lanjut dibuat," ujarnya lagi. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Iran mula serang pangkalan tentera AS guna peluru berpandu

Iran sudah takut: Trump

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!