Pokok tumbang: Pemandu e-hailing cedera layak terima faedah PERKESO

Steven Sim (tiga dari kiri) bersama Abdul Hayyi ketika program ziarah prihatin di kediaman ibu saudaranya di Putrajaya. (Gambar kecil: Kereta Abdul hayyi rosak teruk akibat insiden pokok tumbang)
Steven Sim (tiga dari kiri) bersama Abdul Hayyi ketika program ziarah prihatin di kediaman ibu saudaranya di Putrajaya. (Gambar kecil: Kereta Abdul hayyi rosak teruk akibat insiden pokok tumbang)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemandu e-hailing yang terlibat dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, mangsa yang terlibat iaitu Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, merupakan pencarum PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan layak membuat tuntutan PERKESO.

Abdul Hayyi menunjukkan keretanya yang rosak teruk akibat insiden pokok tumbang pada Selasa.
Abdul Hayyi menunjukkan keretanya yang rosak teruk akibat insiden pokok tumbang pada Selasa.

“Abdul Hayyi cedera dalam kejadian semasa dalam perjalanan menghantar penumpang ke Wisma Hong Leong, Jalan Perak Kuala Lumpur.

“Akibat kejadian itu, beliau mengalami kecederaan pada bahagian kepala, dada dan lengan serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

"Kini beliau sedang berehat di rumah ibu saudaranya di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau mengunjungi mangsa ketika melakukan program ziarah prihatin bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamaruzzaman Mat Salleh; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Menurut Steven Sim, sumbangan wakallah dan kotak prihatin PERKESO turut diberikan kepada Abdul Hayyi sewaktu program tersebut dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, mangsa merupakan pencarum PERKESO yang aktif dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara iaitu cuti sakit dengan kadar RM41.33 sehari termasuk permohonan tuntutan faedah perubatan serta rawatan rehabilitasi.

"Saya bersyukur kerana Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi PERKESO dapat memberikan bantuan berikutan Abdul Hayyi merupakan seorang pencarum SKSPS," ujarnya.

"Saya berterima kasih kepada pihak Grab Malaysia yang telah menaja caruman penggiat gig e-hailing sebanyak 10 peratus menerusi padanan caruman skim pekerjaan sendiri di bawah inisiatif Belanjawan 2024 bagi melayakkan pencarum dilindungi PERKESO," katanya.

Mengulas lanjut Steven Sim berkata, individu bekerja sendiri perlu mencarum di bawah SKSPS sebagai jaringan keselamatan sosial mereka.

Ujarnya, ia sebagai persediaan awal bagi kejadian malang tidak berbau dan dengan perlindungan tersebut sekurang-kurangnya berupaya memberi sokongan kewangan, sekali gus meringankan beban pencarum serta waris sekiranya ditimpa bencana atau musibah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!