[VIDEO] Surat kepada 7 wakil rakyat Bersatu dihantar minggu depan

A
A
A

HULU SELANGOR - Surat berkaitan status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor, akan dihantar kepada mereka minggu depan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, notis tersebut akan dihantar serentak kepada semua wakil rakyat terlibat sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu selesai.

Ketua Pembangkang itu turut menegaskan, kepimpinan parti jelas dengan keputusan untuk menghentikan keahlian Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang menjadi antara wakil rakyat terawal menyokong pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hamzah (dua dari kanan) ketika hadir Ceramah Umum PN di Batang Kali pada malam Rabu
Hamzah (dua dari kanan) ketika hadir Ceramah Umum PN di Batang Kali pada malam Rabu

"Suhaili yang pertama akan menerima surat (terhenti keahlian) kerana melibatkan perkara tertentu, memang sudah ada keputusan dan menunggu pengesahan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi), minggu depan.

"Dua lagi wakil rakyat (terima surat) iaitu Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Ahli Parlimen Tanjong Karang) dan Datuk Abdul Rashid Asari (Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Kelang) kerana berada di pentas ceramah PH (Pakatan Harapan).

"Kalau mengikut Perlembagaan kita, secara automatik mereka (Zulkafperi dan Abdul Rashid) terhenti menjadi ahli Bersatu, maka kita akan bawa juga untuk buat pengesahan (dalam mesyuarat MPT) nanti," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri ceramah umum PN di Batang Kali, malam Rabu.

Selain Suhaili dan Zulkafperi, empat lagi Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Artikel Berkaitan:

Abdul Rashid pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu Hamzah menjelaskan, semua wakil rakyat terlibat perlu mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada PRK diadakan selepas keahlian terhenti.

"Mereka terhenti menjadi ahli, maka dalam akta (lompat parti) sudah diluluskan, aknanya kawasan juga terpaksa mereka lepaskan," ujarnya.

Ditanya kemungkinan ada antara wakil rakyat terbabit akan membawa kes berkenaan ke mahkamah, Setiausaha Agung PN itu memaklumkan, perkara itu biasa dilakukan demi mempertahankan tindakan masing-masing.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!