Menakjubkan, anak pokok tumbuh atas kayu terbakar
AUSTRALIA – Gambar mengenai beberapa tumbuhan yang mula bertunas pada batang pokok yang terbakar di Australia yang dikongsi oleh seorang jurugambar di laman sosial Facebook mendapat perhatian daripada netizen.
Kejadian menakjubkan itu telah dikongsikan oleh Murray Lowe melalui laman Facebook yang memaparkan gambar tumbuh-tumbuhan mula bercambah dari kayu biarpun ia sudah kelihatan seperti arang akibat kebakaran lalu.
Gambar yang diambil di Kulnura, Central Coast, itu seolah-olah memberikan semula harapan bahawa hutan baharu mungkin akan wujud semula di kawasan hutan Australia yang terjejas akibat tragedi tersebut.
Rata-rata netizen terpukau melihat gambar yang memaparkan keindahan semua tumbuhan itu. Ia kini tular di media sosial dan setakat ini meraih 28,000 tanda suka serta 42,000 warga maya berkongsi gambar tersebut.
“Keindahan alam yang menakjubkan dan memberi harapan bahawa hutan baharu mampu diwujudkan semula di Australia. Gambar-gambar yang diambil oleh jurugambar ini sangat cantik dan saya amat terpegun,” tulis Lesley Gardiner di Facebook.
“Sangat menakjubkan apabila tumbuhan baharu boleh hidup di kayu-kayu yang telah terbakar. Inilah kuasa Tuhan. Marilah kita mendoakan agar Australia mampu mewujudkan hutan baharu di kawasan yang terjejas," ujar Samomo Nambi pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!