Menyamar pegawai NSRC, nilai kerugian lebih RM6.8 juta
SHAH ALAM - Lebih RM6.8 juta nilai kerugian dicatatkan melibatkan kes penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sejak 1 Januari sehingga 30 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nilai kerugian ini melibatkan 49 kertas siasatan yang dibuka berkaitan kes berkenaan.
Beliau berkata, NSRC adalah pusat panggilan yang berperanan menyelaras tindakan pantas terhadap penipuan dalam talian terutamanya mengesan wang yang dipindahkan.
"Bagaimanapun kewujudan NSRC ini telah dimanipulasi oleh sindiket penipuan menerusi penyamaran sebagai pegawai pusat ini bagi memperdaya mangsa.
"JSJK telah membuka 49 kertas siasatan sejak awal tahun ini melibatkan kerugian yang dicatatkan mangsa sebanyak RM6,798,548.95," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa menerima panggilan individu yang mendakwa pegawai NSRC serta diminta mengikut segala arahan sehingga mengakibatkan mereka membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.
"Pegawai terbabit memaklumkan NSRC kononnya akan membatalkan nombor telefon mangsa kerana terdapat aduan bahawa nombor telefon itu telah menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
"Panggilan itu kemudian disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis," katanya.
Menurutnya, NSRC adalah pusat yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan ia berbentuk komunikasi sehala sahaja.
"NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu dan sebarang panggilan yang mengaku daripada pihak NSRC adalah satu penipuan," katanya.
Ramli berkata, mangsa terlibat digesa segera menghubungi NSRC di talian 997 dengan segera untuk memaklumkan kejadian penipuan yang berlaku.
"Sebaiknya panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang tinggi untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!