Empat pelajar Politeknik Dungun dikhuatiri lemas

Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin yang dikhuatiri lemas. Gambar atas dari kiri: Muhammad Zul Fahmi Zuki dan Muhammad Luqman Hakim Al Rashid. Gambar bawah: Muhammad Ikhwan.
Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin yang dikhuatiri lemas. Gambar atas dari kiri: Muhammad Zul Fahmi Zuki dan Muhammad Luqman Hakim Al Rashid. Gambar bawah: Muhammad Ikhwan.
A
A
A

DUNGUN - Empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dikhuatiri lemas ketika sedang mandi-manda di Pantai Teluk Bidara di sini petang tadi.

Kesemua mangsa yang berusia 21 tahun itu ialah Muhammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, Muhammad Zul Fahmi Zuki, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee.

Semasa kejadian, kesemua mangsa dikatakan sedang mandi bersama dua lagi rakan mereka di pantai itu.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rezuan Adnan berkata, operasi mencari mangsa sedang giat dijalankan.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam jam 6.33 petang tadi.

"Maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat enam pelajar Politeknik Dungun sedang mandi di pantai itu sebelum empat daripada mereka disyaki lemas.

"Anggota bomba bertindak membuat operasi mencari di pesisir pantai dengan kekuatan anggota dari Balai Bomba Dungun dan Chukai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Seramai 14 anggota, sebuah water tender, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua utiliti dan sebuah Amphibious Rigid Inflatable Boat (ARIB) digerakkan ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!