Produk palsu, ini penjelasan ZFI...

Mohd Nazri (kiri) bersama Hasnah menunjukkan pembukusan terbaharu produk Cap Kipas Udang yang digunakan.5
Mohd Nazri (kiri) bersama Hasnah menunjukkan pembukusan terbaharu produk Cap Kipas Udang yang digunakan.5
A
A
A

JOHOR BAHRU - Zara Foodstuff Industries (ZFI) Sdn Bhd, hari ini, tampil memberi penjelasan mengenai beberapa tuduhan di media sosial berhubung kualiti produknya yang dipasarkannya.

Penjelasan itu adalah melibatkan dakwaan produk dari jenama Cap Kipas Udang dihasilkan mereka yang mempunyai produk tiruan serta pemilikan syarikat yang kini lagi Bumiputera.

Pengarah Kilangnya, Mohd Nazri Ismail berkata, berhubung produk tiruan itu, pihaknya dapati maklumat yang tular di laman sosial itu adalah isu lama yang kembali dibangkitkan.

"Kami ingin menafikan apa-apa isu mengenai produk tiruan pada masa kini kerana kes itu sebenarnya berlaku pada tahun 2009. Pelakunya juga kita sudah bawa ke mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman setimpal.

"Untuk makluman semua produk Cap Kipas Udang yang berada di pasaran kini adalah asli dan sentiasa dipantau pengeluarannya. Perkara ini sentiasa dipandang serius kerana kita tidak mahu pelanggan kami menerima mudarat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Zara Food Industries, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Pemasaran ZFI Sdn Bhd, Hasnah Abdul Rahman.

Maklumat salah yang kembali tular di media sosial mengenai produk berkenaan.
Maklumat salah yang kembali tular di media sosial mengenai produk berkenaan.

Mohd Nazri berkata, sebagai langkah keselamatan dan memudahkan pemantauan dilakukan, pihaknya juga telah melakukan penambahbaikan terhadap produk mereka iaitu menukar penutup botol digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah membuat ubah suai pada bahagian pembungkusan kami. Untuk produk Cap Kipas Udang khususnya kicap, kita sekarang gunakan penutup yang lebih mesra pengguna dan selamat.

"Penutup ini juga direka khas dan telah digunakan sejak tiga tahun lalu. Ini membuktikan kesahihan kami kerana maklumat yang tular baru-baru ini masih menunjukkan produk kami menggunakan penutup yang lama," katanya.

Sementara itu, mengenai pengurusan syarikat yang dikatakan sudah bertukar hak milik, beliau memberitahu perkara itu juga adalah tidak benar.

"Syarikat ini masih diuruskan serta dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera. Ini bagi memastikan kami berupaya mengeluarkan produk Muslim yang terbaik tanpa keraguan.

"Kita juga mempunyai pensijilan halal sejak dari syarikat beroperasi iaitu kira-kira 30 tahun lalu. Memang kami juga akan sentiasa memastikan prosedur halal dalaman syarikat, bahan mentah mesti mengikut garis panduan pensijilan yang ditetapkan," katanya.

Untuk rekod, ZFI Sdn Bhd merupakan antara pengeluar produk kicap, sos cili, sos tomato dan kaya yang terbesar di negara di negara ini selain turut menempuh beberapa pasaran antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!