95 peratus pengundi PRK KKB terima perjuangan Bebas - Ke Xin
HULU SELANGOR - Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Nyau Ke Xin yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini akan memilih calon yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Ke Xin berkata, perkara itu hasil dapatannya ketika menjelajah hampir 95 peratus kawasan DUN sepanjang kempen.
"Setakat ini pengundi memberikan maklum balas positif terhadap saya, malah mereka kata sudah bosan dan bimbang terhadap politik negara ketika ini.
"Jadi mereka faham jika ada calon Bebas yang bertanding, mereka lebih mementingkan rakyat berbanding kepentingan parti.
"Untuk esok (Jumaat), saya akan turun ke kawasan yang belum sempat saya pergi sebelum tamat tempoh berkempen," katanya pada sidang akhbar di Kuala Kubu Baharu pada Khamis.
Dalam pada itu beliau turut mendedahkan, dirinya ada menerima ugutan menerusi panggilan telefon daripada individu tidak dikenali, mendakwa mewakili parti berpengaruh yang turut bertanding pada PRK berkenaan.
Ke Xin yang menjadi satu-satunya calon Bebas bagi PRK Kuala Kubu Baharu itu bagaimanapun enggan mendedahkan perincian perkara terbabit selain memaklumkan tidak akan membuat laporan polis berhubung ugutan diterima.
"Saya ada terima ugutan daripada individu tak dikenali, selain dia turut meminta saya menarik diri sahaja (daripada bertanding pada PRK Dun Kuala Kubu Bharu)
"Dia (pemanggil) kata mereka parti besar, jadi jangan buang masa (sertai PRK)," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!