Lelaki Bangladesh ditahan cuba sogok anggota polis RM70

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh cuba menyogok anggota polis dengan wang RM70 membawa padah apabila dia ditahan di Jalan Pantai dekat sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 41 tahun itu menyogok wang kepada anggota polis agar tidak mengambil tindakan terhadapnya ketika pemeriksaan lesen motosikal dilakukan pada jam 12 tengah hari.

Katanya, sebelum itu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat membuat rondaan cegah jenayah.

"Sebaik memasuki Jalan Pantai, anggota polis telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang sedang menunggang motosikal untuk pemeriksaan lesen memandu.

"Apabila anggota polis meminta untuk menunjukkan lesen memandu, lelaki itu cuba menghulurkan wang tunai RM70 agar dirinya dilepaskan daripada dikenakan tindakan saman.

"Walaupun anggota polis telah memberi amaran supaya menghentikan perbuatannya, namun lelaki tersebut berulang kali mendesak dengan cara menghulurkan rasuah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Ismail, anggota polis terbabit kemudiannya membuat tangkapan terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan menawarkan rasuah kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas serta merampas satu keping wang tunai RM50 dan satu keping wang tunai RM20.

"Lelaki yang bekerja di sebuah kedai runcit itu serta rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!