Bank Negara Malaysia kekal OPR pada 3.00 peratus
SHAH ALAM - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras semasa iaitu 3.00 peratus.
BNM dalam satu kenyataan berkata, keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit dalam negara adalah kali keenam dibuat secara berturut-turut sejak Julai tahun lalu serta ia sejajar dengan jangkaan pasaran.
"Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan
"MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri serta memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu BNM menjelaskan, ekonomi global terus berkembang berikutan pasaran pekerja yang berdaya tahan di beberapa negara dan pemulihan perdagangan global berterusan.
Ujarnya, pada masa hadapan pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan disokong keadaan pasaran pekerja positif serta inflasi terus menurun.
Tambah kenyataan itu, perdagangan global pula dijangka terus kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.
"Walaupun inflasi keseluruhan dan teras global terus menurun sejak kebelakangan ini, kadar disinflasi telah menjadi perlahan di beberapa ekonomi maju.
"Hal ini meningkatkan prospek kadar faedah untuk kekal tinggi bagi masa yang lebih lama, khususnya di Amerika Syarikat (AS).
"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi lebih besar," katanya.
Mengulas lanjut kenyataan itu memaklumkan, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.
Jelasnya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.7 peratus dan 1.8 peratus pada suku pertama 2024.
Katanya, prospek tahun ini bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi termasuk pasaran kewangan global.
"Setelah mengambil kira kesan yang mungkin berlaku berikutan rasionalisasi subsidi, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing diunjurkan berpurata antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus tahun ini.
"Ringgit pada masa kini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.
"Faktor luaran iaitu peralihan jangkaan berhubung dengan haluan dasar monetari di ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan telah menyebabkan volatiliti yang ketara dalam aliran modal serta kadar pertukaran di seluruh rantau ini, termasuk ringgit," ujarnya.
Menurut kenyataan tersebut, BNM akan terus menguruskan risiko berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan termasuk pembaharuan struktur dalam negeri yang memberikan sokongan lebih berpanjangan kepada ringgit bakal dilakukan untuk tempoh jangka masa sederhana.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!