Kes Faisal disimbah asid: Polis tunggu hasil analisis cap jari suspek
PETALING JAYA - Polis sedang menunggu hasil analisis kesan cap jari yang diperoleh di lokasi kejadian simbah asid membabitkan tonggak skuad Selangor FC, Faisal Halim dekat sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semakan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan serta tempat di lokasi kejadian.
"Kesan cap jari berkenaan yang ditinggalkan itu telah diambil dan kita masih menunggu keputusan hasil analisis yang dijalankan.
"Sekiranya hasil yang diperoleh itu kelak memberikan gambaran yang positif, insya-ALLAH, mungkin ia akan mendekatkan pihak polis kepada suspek-suspek yang terbaharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas turun meninjau sendiri lokasi kejadian di sebuah pusat beli-belah dekat Kota Damansara di sini pada Isnin.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan berkaitan tangkapan melibatkan dua suspek sebelum ini.
"Berkaitan dua suspek yang ditahan sebelum ini, apa yang saya boleh rumuskan bahawa kita masih jalankan soal siasat.
"Ia masih di peringkat permulaan untuk saya kongsikan apa-apa perkembangan berkaitan tangkapan terbabit," katanya.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, Faisal dilapor alami melecur tahap empat selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Susulan itu, polis berjaya memberkas dua lelaki secara berasingan di Pandan Indah, Ampang dan Bangi pada Ahad serta Isnin lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!