Koperasi Felda Inas, Instedt Prima jalin kerjasama pembangunan kawasan
SHAH ALAM - Koperasi Felda Inas Kulai Berhad menjalinkan kerjasama bersama Instedt Prima (M) Sdn Bhd untuk memperkasakan pembangunan di Felda Inas bagi sektor perniagaan, keusahawanan, pembangunan, penambahbaikan infrastruktur dan pertanian.
Pengerusi Eksekutif Instedt Prima (M) Sdn Bhd, Datuk Shahrul Azila Mohd Saleh berkata, ia merupakan inisiatif bagi memajukan dan membangunkan kawasan berkenaan.
“Kami juga yakin dengan adanya kerjasama ini, ia dapat membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan dalam sektor yang terlibat,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Khamis.
MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi Koperasi Felda Inas Kulai Berhad, Sukemi Badron bersama Shahrul Azila di Pejabat Urusan Koperasi Felda Inas Berhad, Felda Inas, Kulai, Johor.
Sementara itu, Sukemi berpandangan bahawa MoU tersebut akan memberi impak positif kepada penduduk felda berkenaan dan komuniti sekitar.
“Kami amat mengalu-alukan kerjasama sebegini yang pastinya memberi impak yang amat besar disamping dapat meneroka peluang baharu,” tambahnya ringkas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!