Tetap tenang, ibu dan anak jadi kekuatan Bella Astillah

Bella Astillah
Bella Astillah
A
A
A

KETENANGAN yang ditunjukkan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah dalam berdepan kemelut yang berlaku mendapat pujian ramai.

Malah pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu juga dilihat menunjukkan tahap profesional yang tinggi ketika melakukan persembahan di khalayak, biarpun lagu yang disampaikan itu cukup meruntun hati.

“Orang nampak saya tenang, tetapi hakikatnya orang terdekat sahaja yang tahu.

“Bila buat persembahan ada ketikanya memang saya hampir menangis, tetapi tidak manis pula kerana saya buat persembahan di majlis orang.

“Jadi penting untuk kekal profesional dalam bekerja,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Bella berkata demikian ketika ditemui majlis hari raya anjuran pengeluar motosikal elektrik, GGR Motor (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala pada Khamis.

GGR Motor juga berhasrat untuk melantik Bella sebagai duta.
GGR Motor juga berhasrat untuk melantik Bella sebagai duta.

Tambah Bella, dua anak iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4, serta ibu tercinta, Siti Zarina Astillah menjadi nadi kekuatannya dalam menghadapi dugaan hidup.

Artikel Berkaitan:

“Mama sekarang kembali mengikut saya ke mana-mana majlis. Mama juga yang banyak memberi sokongan dan penguat semangat untuk saya terus melangkah,” jelasnya.

Ditanya mengenai permohonan maaf yang dibuat Ruhainies dan status hubungannya dengan wanita berasal dari Singapura, Bella mengambil pendekatan untuk enggan mengulas lanjut.

“Alhamdulillah, saya okay. Saya minta maaf banyak, sebab sekarang ini, saya hendak fokus kepada perbicaraan (kes cerai) di mahkamah dan karier sahaja.

“Jadi, saya minta doakan yang baik-baik," katanya.

Kontroversi rumah tangga Aliff dan Bella tercetus lagi selepas Aliff Aziz ditangkap khalwat dengan Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu kota pada Mac lalu.

Rentetan daripada itu, Bella memfailkan penceraian buat kali kedua dan turut mendedahkan menjadi mangsa kecurangan Aliff sebanyak 12 kali.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata.

Rezeki terpijak

Dalam pada itu, pada majlis sambutan hari raya peneraju GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi mengumumkan khabar gembira buat Bella.

Bella bersama peneraju GGR Muhammad Mussadiq.
Bella bersama peneraju GGR Muhammad Mussadiq.

Selain bakal dihadiahkan sebuah skuter elektrik pada penghujung bulan ini, GGR Motor juga berhasrat untuk melantik Bella sebagai duta.

Mengakui terkejut dengan pengumuman itu, Bella berkata, dia ada bercadang membeli sebuah motosikal untuk kegunaan harian bagi menghantar anak sulungnya ke sekolah.

Bagaimanapun beberapa kekangan berlaku dan hasrat itu masih belum kesampaian.

“Saya anggap semua ini rezeki dan hadiah. Sebelum ini pun saya ada rancang nak beli tetapi asyik tertangguh.

“Lepas ini, bolehlah saya kongsi pengalaman hantar Ayden ke sekolah naik motosikal,” tuturnya teruja.

Dalam perkembangan sama, GGR Motor turut menjalinkan kerjasama dengan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) untuk menjadikan penggiat seni sebagai Duta jualan motosikal EV Bike Elektrik secara langsung

kepada peminat-peminat mereka.

Satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai oleh Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq (Dekmat) dengan Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid pada hari ini.

Kerjasama ini membolehkan peminat dan bakal pembeli motosikal ini mempunyai akses lebih mudah mendapatkannya menerusi artis-artis pujaan mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!