Slot penaja utama Sang Kenari masih kosong

KDA FC akan menggunakan jersi pramusim 2024-2025 pada tiga perlawanan awal Liga Super. FOTO KDA FC
KDA FC akan menggunakan jersi pramusim 2024-2025 pada tiga perlawanan awal Liga Super. FOTO KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mencari slot penaja utama kelab itu pada musim 2024-2025 yang masih kosong dan terbuka kepada mana-mana syarikat yang berminat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Shamsudin berkata, pada bulan Februari lalu, KDA FC secara lisan menerima tawaran tajaan daripada sebuah syarikat berminat menjadi penaja utama kelab.

Namun berlaku insiden yang tidak diduga menyebabkan syarikat tersebut menghadapi masalah besar dan perniagaannya merosot sehingga menyebabkan pihak kelab terpaksa menolak tawaran tajaan pada saat akhir.

"Oleh sebab itu, proses pencarian penaja utama diteruskan yang mana ketika ini slot masih terbuka dengan pihak pengurusan kelab sedang giat menarik bakal penaja baharu sehingga satu tempoh yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Shahrul, KDA FC telah berbincang dengan Penaja Bersama KDA FC, AL Sports Sdn. Bhd iaitu ALX, penaja kit rasmi berkenaan jersi perlawanan Liga Super musim 2024-2025 tanpa slot penaja utama.

"Keputusan yang dicapai adalah AL Sports Sdn. Bhd. tidak akan mengeluarkan kit jersi perlawanan Liga Super KDA FC musim ini sehingga penaja utama kelab disahkan.

"Ini berdasarkan muafakat bersama antara KDA FC & AL Sports Sdn. Bhd. dengan mengambil kira kos efektif dan pemasaran AL Sports Sdn. Bhd. dalam situasi menang-menang," ujarnya lagi.

Tambah beliau, bagi perlawanan pada Mei ini, Sang Kenari akan memakai kit jersi pramusim 2024-2025 buat sementara bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga perlawanan pertama Liga Super.

Artikel Berkaitan:

KDA FC bakal membuka tirai Liga Super musim ini dengan berdepan PDRM FC di laman lawan pada petang Sabtu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!