'Ayah sempat minta maaf sebelum hembus nafas terakhir'

Fizree menyiram pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Khamis.
Fizree menyiram pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Penyanyi irama pop yeh yeh, Datuk A Halim sempat memanggil isteri dan semua anaknya beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Penawar Pasir Gudang di sini pada Khamis.

Anak bongsunya, Fizree, 37, berkata, ayahnya memanggil mereka pada jam 2.20 pagi Khamis untuk meminta maaf kepada semua sebelum meninggal dunia kira-kira lapan jam selepas itu.

"Ayah kelihatan penat, namun kami sempat bermaaf-maafan untuk kali terakhir. Ibu (Fatimah Bahrim, 75) dan kami bergilir-gilir menjaga ayah sehingga akhir hayatnya," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang di sini pada jam 4.05 petang Khamis.

A Halim atau nama sebenarnya A Halim Md Diah yang mempunyai enam anak, 24 cucu dan lima cicit sebelum ini tinggal di Kampung Dalam Peserai, Batu Pahat.

Sebelum ini, media melaporkan penyanyi dan pencipta lagu Kisah dan Tauladan itu tidak lagi dapat menyanyi kerana peti suaranya sudah rosak.

Sementara itu, anak kedua Allahyarham, Elly, 49, berkata, setiap saat yang diluangkan bersama ayahnya beberapa jam sebelum meninggal dunia menjadi kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.

Artikel Berkaitan:

Elly
Elly

Menceritakan kesihatan ayahnya sebelum dimasukkan ke hospital, Elly berkata, ayahnya yang mengalami lumpuh sejak lima tahun lalu mampu puasa penuh pada tahun ini, namun kesihatannya mula merosot tiga hari sebelum Syawal dan didiagnos mengalami jangkitan kuman.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, ayahnya dibawa ke klinik sebelum menjalani rawatan di hospital dan bergantung dengan antibiotik.

"Bagaimanapun dalam tempoh seminggu dua ini, bacaan gula dalam darah berkurangan secara mendadak dan ayah dibawa ke Hospital Penawar Pasir Gudang untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa pulang ke rumah beberapa hari lalu.

"Semalam ayah mengalami sesak nafas kira-kira jam 7 petang sebelum dibawa semula ke Hospital Penawar Pasir Gudang dan didapati mengalami masalah kekurangan oksigen selain mengalami tahap jangkitan kuman agak serius," katanya.

Elly menabur bunga di pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Khamis.
Elly menabur bunga di pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Khamis.

Menurutnya, doktor mengesahkan kematian ayahnya berpunca daripada kegagalan buah pinggang.

"Walaupun doktor cuba memberi rawatan, namun ayah senang pergi pada jam 10.01 pagi tadi, tidak lama...kami reda," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!