Peruntukan pembangkang: MB Negeri Sembilan perlu beri jawapan tepat, konkrit
SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diminta memberikan jawapan yang tepat dan konkrit berhubung peruntukan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.
Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, jawapan yang diberikan oleh ADUN Sikamat itu pada sidang DUN hari ini sebenarnya tidak menjawab kepada pertanyaan yang dikemukakannya.
"Beliau hanya kata peruntukan pembangunan telah diberi kepada kawasan pembangkang. Peruntukan pembangunan itu memang di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan kita tanya mana peruntukan untuk ADUN pembangkang.
"Menteri Besar perlu jawablah, ada ke atau tidak ada. Janganlah berdolak dalik dan beri jawapan yang tidak jelas yang mengelirukan dewan,"katanya kepada pemberita selepas Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 pada Khamis.
Menurutnya, jawapan tepat harus diberikan selepas pihaknya telah berulang kali membangkitkan isu tersebut.
Mohamad Hanifah yang merupakan ADUN Labu berkata, pihaknya akan terus membangkitkan isu tersebut sehingga Menteri Besar memberi satu jawapan tepat walaupun isu pemberian peruntukan ini adalah haknya.
"Sebelum ini kita ada menghantar surat kepada beliau untuk berbincang mengenainya tetapi tiada maklum balas tetapi seharusnya peruntukan kepada ADUN pembangkang wajar diberi sama rata," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui tidak gembira dengan perjalanan sidang DUN ini kerana tempoh masa bahas yang diberi sangat terhad untuk ADUN pembangkang selain turut dibuat secara tergesa-gesa.
"Banyak perkara dan isu dibangkitkan tapi seolah-olah tidak diberi perhatian kerajaan. Contohnya isu anjing. Bagi kerajaan isu ini kecil tapi sebenarnya ia besar kerana membabitkan masalah rakyat," ujarnya.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri agar segera bertindak dalam menyelesaikan isu-isu yang melibatkan keselamatan dan kebajikan rakyat yang sering kali di bawa dalam dewan antaranya isu pokok dan bekalan air.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!