Derhaka ibu bapa, dijanjikan seksaan di dunia sebelum mati
SERING kali kita mendengar kata-kata seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak namun 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu dan ternyata ada benarnya.
Pelbagai kisah yang berlaku di sekeliling kita yang berkaitan dengan pengabaian ibu yang sudah tua dilaporkan melalui media atau buah mulut orang ramai.
Ada anak yang mengambil jalan menghantar ke rumah orang-orang tua atau mengupah pembantu rumah bagi menguruskan ibu yang keseorangan di kampung dek kesibukan kerja anak-anak di ibu kota, sementelah tinggal berjauhan pula.
Menghantar ibu atau bapa yang sudah tua ke rumah orang-orang tua nampak seolah-olah kejam namun di situ ada positifnya iaitu matlamat utama adalah menjaga kebajikan mereka, bukannya mahu mendera emosi.
Kadangkala ada kes ia merupakan permintaan orang tua sendiri yang tidak mahu kesunyian seorang diri di rumah selain tidak mahu tinggal dengan anak di kota besar.
Bagi yang masih sihat, ada yang memilih untuk tinggal di pondok pengajian dengan niat dapat melakukan ibadah dengan tenang selain mendalami ilmu agama untuk bekalan akhirat dan tidak mahu menyusahkan anak-anak.
Kebajikan ibu bapa paling utama
Pendakwah, Ustaz Nik Mansor Nik Mahmud menjelaskan apa pun keadaannya, kebajikan ibu atau bapa itu yang paling utama.
“Berbuat baik kepada ibu bapa terutamanya ibu telah banyak dihuraikan oleh para ulama dan kita semua sudah maklum akan tanggungjawab tersebut.
Menurutnya, dalam kitab Tafsir Al-Munir, Dr Wahbah Az-Zuhaili menjelaskan, lima tanggungjawab anak kepada ibu bapa yang sudah mencapai usia tua yang memerlukan perhatian:
1 - Tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan, walaupun perkataan paling pendek.
2 - Tidak melakukan perbuatan yang menyusahkan mereka.
3 - Mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan sepanjang masa.
4 - Merendahkan diri dan berkhidmat sepenuh hati kepada mereka.
5 - Berdoa bersungguh-sungguh semoga ALLAH merahmati mereka dengan segala penat lelah dan pengorbanan mereka selama ini.
"Cubalah sedaya upaya untuk tidak menyakiti hati ibu bapa, lebih-lebih lagi ibu kandung sendiri memandangkan doa seorang ibu sangat mustajab.
"Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda bersabda:
"Ada tiga jenis doa yang akan dimakbulkan, yang tidak ada keraguan padanya iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang musafir dan doa ibu bapa untuk anaknya." (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Ancaman balasan untuk anak culas
“Bagaimanapun bagi mereka yang ‘culas’, beringatlah dengan ancaman dan azab ALLAH SWT kepada mereka yang mengabaikan kebajikan kedua-dua ibu bapa mereka,” katanya.
Merujuk ayat 23 dan 24 dalam Surah al-Isra’, pendakwah yang turut dikenali dengan Abu Mahdi itu menjelaskan, ALLAH SWT memerintahkan agar tidak menyembah melainkan DIA semata-mata dan berbuat baik kepada ibu bapa.
“Jika salah seorang atau kedua-duanya sudah tua, ALLAH SWT memerintahkan agar tidak berkata ‘ah’ kepada mereka selain tidak menengking, mengherdik dan berkata-kata yang baik kepada mereka.
“ALLAH SWT menyambung lagi, hendaklah kamu merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayang,” hurainya.
Mengulas lanjut, beliau membawa satu hadis Nabi Muhammad SAW:
“Setiap dosa akan dilewatkan oleh ALLAH hukumannya mengikut kehendak-NYA sehingga hari kiamat kecuali (dosa) derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya ALLAH akan menghukum pelakunya semasa hidup sebelum kematian.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
“Begitu besar ancaman balasan daripada ALLAH SWT kepada orang yang derhaka kepada ibu bapanya dengan hukuman secara ‘tunai’ ketika dia masih hidup di dunia,” katanya.
Akhir zaman ibu lahirkan tuan
Abu Mahdi turut mengingatkan agar kita semua tidak tergolong dalam kalangan anak yang menjadi tuan kepada ibunya seperti diceritakan dalam satu hadis mengenai hari kiamat.
"Imam An-Nawawi menyatakan maksud al-amah dalam hadis tersebut merujuk kepada berleluasanya perhambaan dan anak-anak yang lahir daripada hamba wanita yang disetubuhi tuan mereka.
“Bagaimanapun, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani berpendapat terjadinya banyak penderhakaan terhadap ibu bapa yang mana anak-anak akan melayan ibu mereka seperti seorang tuan melayan hambanya dengan kata-kata penghinaan, cacian, memukul dan memaksa ibu mereka melakukan kerja,” hurainya.
Ulasnya lagi, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani tidak setuju dengan pendapat perhambaan memandangkan ia sudah wujud pada zaman Nabi Muhammad SAW.
“Penggunaan bahasa kiasan dalam hadis tersebut juga boleh difahami bahawa akan berleluasanya perbuatan derhaka kepada ibu bapa oleh anak-anak.
"Oleh itu, sama-samalah berdoa dan saling memberi peringatan kepada diri sendiri, adik-beradik dan ahli keluarga agar kita semua tidak tergolong dalam kalangan anak yang derhaka dan termasuk dalam golongan anak-anak yang soleh,” katanya.
ANEKDOT
Derhaka ibu bapa antara dosa besar paling besar
Abu Bakrah Nufa'i bin Al-Haris RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Apakah kamu mahu aku beritahu dosa besar yang paling besar?" Baginda menyatakannya sebanyak tiga kali.
Mereka (para sahabat) menjawab: "Mahu, wahai Rasulullah." Baginda bersabda lagi: "Menyekutukan ALLAH dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa."
Ketika itu Baginda sedang bersandar sebelum Baginda duduk dan meneruskan sabdanya: "Ketahuilah (juga) perkataan dusta dan penyaksian palsu, perkataan dusta dan penyaksian palsu."
Baginda berterusan mengulanginya sehingga aku berkata: "(Jangan-jangan) Baginda tidak akan diam." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis tersebut memberikan beberapa pengajaran:
1 - Dosa itu berbeza tingkatannya sesuai dengan kerosakan yang ditimbulkan.
2 - Tarhib (menakut-nakutkan) agar tidak derhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan tidak berdusta serta membuat penyaksian palsu.
3 - Dosa yang paling besar adalah menyekutukan ALLAH, seterusnya derhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan berdusta serta membuat penyaksian palsu.
***Sumber: Al-Quran Al-Karim Amazing terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!