Retorika dan hubungan kaum
AGAK gusar juga memerhatikan keadaan semasa negara ketika ini. Tertanya-tanya juga ke mana hala tuju Malaysia Baharu sepertimana yang dicanangkan, kerana nampaknya langkah kita seperti mengundur ke belakang.
Paling ketara tentunya hala tuju hubungan antara kaum di negara kita yang jelas nampak bermasalah. Benar sifat hubungan kaum di Malaysia ada turun naik dan pasang surutnya. Tetapi selalunya ia tidaklah sampai membawa kepada persengketaan. Jaranglah juga ia terganggu hanya kerana perkara yang remeh-temeh kerana ia boleh diselesaikan dengan cara yang baik dan aman.
Daripada isu jawiophobia, tanglung dan terkini Pesta Pongal sudah cukup menceritakan di mana dan bagaimana tahap hubungan kaum di negara kita. Kalau ikutkan menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, semua kontroversi melibatkan kaum di negara ini sering berpunca daripada salah faham kerana tiada maklumat tepat diberikan menyebabkan timbul rasa tidak puas hati.
Memang ada benarnya kenyataan pak menteri itu. Cumanya kita juga tertanya-tanya mengapa perkara itu boleh berlaku? Dan kalau ia berlaku, siapa yang mulakannya? Dan sudah tentu apa pula usaha untuk mencegahnya, terutama sekali dalam menjernihkan salah faham itu.
Agak ironi juga sebenarnya salah faham itu kerana dalam situasi semasa, salah faham itu nampaknya timbul daripada tindakan kerajaan sendiri. Tidaklah mahu menyalahkan kerajaan semata-mata, tetapi apa yang berlaku sekarang nampak ada benarnya. Dan ia bertambah serius apabila ada pula individu dan kelompok oportunis yang mengambil kesempatan lantas memburukkan lagi suasana.
Terus terang cakap, selagi kerangka dan perspektif kaum berterusan digunakan sebagai remedi pembentukan integrasi dan perpaduan kaum di negara kita, maka jangan haraplah akan wujud keharmonian apatah lagi perpaduan dalam apa jua bentuk dan nama sekalipun.
Bukan sukar untuk melakukannya. Ia hanya memerlukan keinginan sebenar dan jiwa yang besar daripada setiap warganya. Sebab itu buatlah apapun, tetapi kalau ini masih tidak boleh dipupuk dan dilakukan, semua usaha pasti tidak akan berhasil dan akan menjadi sia-sia.Memang tidak ada formula khusus dalam menguruskan kerencaman masyarakat. Selalunya amalan di sesebuah negara akan berlainan dengan satu negara yang lain.
Tetapi asas dan kerangkanya tetap sama. Tanyalah mana-mana negara yang berpengalaman menguruskan masyarakat majmuk, jawapan mereka dalam menguruskan itu adalah; pembentukan jati diri dan identiti kebangsaan.
Itulah saja yang perlu kita lakukan. Kalau kita masih gagal untuk membentuk jati diri dan identiti kebangsaan yang sepunya, maka selagi itulah kita akan terus terperangkap dengan permasalahan yang sama. Sebab itulah, keinginan dan jiwa besar semua warga terhadap perkara ini amat diperlukan.
Kebangsaan
Iktibar daripada pendekatan Rukun Negara, Bangsa Malaysia dan Satu Malaysia sudah cukup untuk mengajar kita bahawa formula ‘bersatu dalam kepelbagaian’ sebagai teras dasar-dasar itu masih belum cukup dan tidak mampu mencapai apa yang sepatutnya dicapai.
Setakat ini, apa yang bersifat kebangsaan (bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan dan sebagainya) masih gagal untuk memangkin pengukuhan jati diri dan pembentukan identiti kebangsaan.
Mungkin solusi semasa terhadap permasalahan itu tidak lagi berkisar tentang berapa banyak dan kerap dialog, wacana dan perbincangan secara terbuka mahupun tertutup dalam meleraikan salah faham dan kekeliruan antara kaum sepertimana yang dikatakan oleh pak menteri tadi.
Cabarannya sekarang adalah, apakah pak menteri dan kementeriannya ada keinginan dan jiwa besar untuk menggunakan kuasa yang ada bagi mengubah hala tuju hubungan dan keharmonian kaum negara kita dengan ketegasan dan perubahan drastik tanpa sebarang prejudis?
Di sebalik semua retorika politik, beranikah mana-mana individu atau kumpulan untuk memulakan perubahan dengan perkara paling mudah dilakukan dalam membentuk perpaduan: kuatkuasakan Perkara 152 Perlembangaan Persekutuan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan dalam semua urusan tanpa kompromi bagi semua sistem persekolahan di Malaysia.
Kalau inipun masih ada yang menolak, sampai kiamatlah kita akan berterusan begini.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!