Dicekup tangkap ikan di zon larangan

Hasil tangkapan turut dirampas APMM.
Hasil tangkapan turut dirampas APMM.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang hari ini menahan dua bot nelayan kelas C kerana menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan di kedudukan 11.3 batu nautika dan 11.8 batu nautika Barat Laut Muka Head kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lapan warga Thailand berusia lingkungan 33 hingga 65 tahun berada di atas kedua-dua bot terbabit.

Salah sebuah bot yang ditahan.
Salah sebuah bot yang ditahan.

"Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di bawah 15 batu nautika.

"Kedua-dua bot dirampas bersama empat gulung pukat tunda, empat papan tunda, 900 kilogram ikan campur dan ikan baja seberat 4 tan. Kesemua nelayan dan barang rampasan dibawa ke Jeti PPM Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sehubungan itu, Hamizan mengingatkan pengusaha bot pukat tunda supaya mematuhi sistem pengezonan kawasan penangkapan ikan yang telah ditetapkan dalam syarat lesen vesel.

Orang awam juga diminta memberikan kerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 dan 04-2643650.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!