Tiga servis bergilir, peluang buat semua negara kutip mata - PSM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim (enam, kanan) menerima jersi baharu dilancarkan pada Majlis Memperkenalkan Pemain Sepak Takraw Malaysia bagi Piala Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi. Foto Bernama
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim (enam, kanan) menerima jersi baharu dilancarkan pada Majlis Memperkenalkan Pemain Sepak Takraw Malaysia bagi Piala Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

SISTEM pengiraan baharu 15 mata dengan tiga servis bergilir yang akan diperkenalkan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 18 hingga 26 Mei ini, dilihat membuka lebih ruang buat pasukan bertanding merebut mata.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, ketajaman tekong boleh menjadi faktor utama kemenangan apabila sesuatu pasukan dapat mengutip mata berturut-turut hasil perlaksanaan servis tajam yang sempurna oleh tekong terbabit.

“...tapi kali ini apabila bertukar servis momentum dia (tekong) itu mungkin bermasalah, mana kita tahu? Itu (yang) saya kira ada ruang sedikit kepada semua termasuk pemain-pemain kita,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Malaysia malam tadi.

Mohd Sumali berkata, pasukan gabungan pemain berpengalaman dan baharu itu seharusnya menerapkan semangat juang tinggi untuk memastikan sasaran final dalam ketiga-tiga acara yang disertai mampu dicapai.

Beliau turut menegaskan pihaknya akan mengambil langkah berjaga-jaga tidak kira di lapangan pertandingan ataupun tempat tinggal pemain bagi memastikan keselamatan mereka.

“Untuk pemain (Malaysia pula) kebiasaannya memang ada satu peraturan ataupun disiplin...keluar ke mana-mana tanpa kebenaran automatik pemain ini kita akan ambil tindakan tegas dan saya percaya memang semua pemain pun faham,” katanya.

Sebanyak 21 negara akan berentap dalam kejohanan dunia itu dengan 12 negara bersaing dalam kategori Premier termasuk Malaysia dan sembilan negara lagi berentap dalam Divisyen 1 yang dibarisi antaranya Iran, Jerman, Arab Saudi dan Pakistan.

Dalam acara berpasukan yang merupakan acara tumpuan, skuad sepak takraw negara diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun dan Brunei.

Artikel Berkaitan:

Bagi kategori regu pula, Malaysia sekali lagi mendapat laluan mudah apabila diundi bersama China dan Brunei dalam Kumpulan B manakala dalam saingan double, menyaksikan skuad kebangsaan berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!