Pastikan minyak subsidi hanya untuk kita
Kejadian warga asing mengisi minyak petrol atau diesel bersubsidi ke kenderaan mereka yang jelas memaparkan nombor pendaftaran kenderaan negara jiran, ternyata terus berlaku di negara ini.
Jika sebelum ini kegiatan seperti itu dikesan di negeri atau kawasan yang terletak berhampiran dengan sempadan negara jiran, namun ketika ini sudah ada kes yang dilaporkan di sekitar Lembah Klang.
Timbul persoalan, mengapa agaknya perkara seumpama ini masih terus berlaku sedangkan pelbagai langkah bertujuan membendung perkara tersebut telah dilaksanakan oleh kerajaan?
Antaranya, mengenakan hukuman denda yang berat kepada pengusaha stesen minyak yang didapati bersubahat dengan kumpulan penyangak tersebut dengan membenarkan mereka mengisi minyak petrol atau diesel bersubsidi.Baru-baru ini seorang pengusaha stesen minyak di hentian rehat dan rawat (R&R) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang selepas didapati bersalah menjual bahan api subsidi kepada warga asing.
Dia didapati menjual petrol RON95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand. Kesalahan itu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara selama tiga tahun.
Terdahulu tular satu rakaman di media sosial yang memaparkan dua individu mengisi petrol bersubsidi sekali gus mencetuskan kemarahan netizen. Mereka mempertikaikan tindakan warga asing tersebut yang semakin berani melanggar peraturan.
Selain itu, ‘penyangak’ warga asing ini juga semakin berani mencabar pihak berkuasa malah mengugut para pengusaha stesen minyak agar terus menjual bahan api bersubsidi kepada mereka, tidak kira berapa kali mereka isi dalam sehari. Perkara ini didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali baru-baru ini.
Antara ugutan mereka yang dipercayai sindiket ini adalah untuk membakar stesen minyak dan merosakkan kemudahan yang ada di situ.
Sudahlah menerima ugutan, ada juga pengusaha stesen minyak yang didatangi konco-konco penyangak tersebut bagi memberikan amaran berhubung ‘urusan’ jual beli yang perlu diikuti oleh mereka.
Perkara sedemikian sudah pasti membuatkan pengusaha terbabit tidak berani melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa kerana bimbang akan keselamatan diri, keluarga, pekerja dan juga premis mereka daripada diapa-apakan.
Jika sudah sampai ke tahap ini, ternyata perkara ini tidak boleh dibiarkan lagi kerana lama-kelamaan ia pasti merebak ke tempat-tempat lain di seluruh tanah air dan seterusnya menyebabkan bekalan bahan api bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat negara ini sahaja semakin berkurangan.
Oleh itu, sudah tiba masa untuk pihak berkuasa melaksanakan tindakan lebih tegas dan lebih agresif bagi memastikan insiden sedemikian tidak berlaku pada masa akan datang.
Pada masa sama, orang ramai juga boleh memainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa jika melihat ada lagi warga asing yang mengisi minyak bersubsidi di stesen minyak atau mengesyaki terdapat aktiviti penyeludupan petrol dan diesel sama ada oleh warga asing atau orang tempatan sendiri.
Justeru, langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar pada tahun antara lain bertujuan membantu rakyat di samping membendung penyeludupan serta ketirisan barangan bersubsidi harus dialu-alukan.
Selain itu, kawalan keselamatan di stesen-stesen minyak berhampiran sempadan negara wajar diperketat bagi memastikan tidak berlaku lagi insiden kenderaan dengan nombor pendaftaran asing mengisi bahan api bersubsidi.
Pihak syarikat atau stesen minyak itu sendiri perlulah lebih berani kerana mereka boleh dikatakan berada di barisan paling hadapan dalam menghalang penyangak warga asing ini daripada mencuri bahan api bersubsidi milik kita.
* Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Johor
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!