Pempengaruh maut ditembak selepas muat naik makanan di media sosial
QUITO - Seorang pempengaruh media sosial terkenal Ecuador dilaporkan maut ditembak di sebuah restoran di bandar Quevedo selepas memuat naik menu sotong kurita 'ceviche' dalam akaun Instagram miliknya.
Ketika kejadian, Landy Parraga Goyboru, 23, sedang makan tengah hari bersama seorang rakannya sebelum didatangani dua lelaki yang memasuki sebuah restoran selepas menjejaknya hingga ke premis itu.
Kejadian tembakan dirakamkan kamera CCTV dalam restoran tersebut di mana pempengaruh itu ditembak sebanyak tiga kali sebelum penyerang melarikan diri.
Dalam rakaman sama, dia dilihat sedang terbaring dan dipercayai sudah meninggal dunia, bagaimanapun motif kejadian tidak diketahui.
Selepas kejadian itu tular, beberapa spekulasi timbul dan mendakwa Goyboro disyaki pernah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pengedar dadah bernama Leandro Norero.
Norero meninggal dunia dalam rusuhan penjara pada penghujung tahun 2020. Namun, kematian pengedar dadah itu tidak dapat disahkan dan polis mengesyaki isterinya mengarahkan pembunuhan pempengaruh itu.
Spekulasi lain menyatakan pembabitan Goyburo dengan kumpulan ketua samseng terkenal dan siasatan rasuah yang mengaitkan pegawai kehakiman dengan jenayah terancang.
Bagaimanapun, polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung motif kejadian dan tindakan mangsa memuat naik makanan dalam akaun instagram miliknya berkemungkinan berlaku hanya kebetulan semasa dia diserang dalam restoran itu.
Goyburo yang mempunyai 180,000 pengikut Instagram, terkenal sebagai model yang menggayakan pakaian sukan hingga penyertaan dalam pertandingan Ratu Cantik Miss Ecuador 2022. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!