Leverkusen mara final Liga Europa
GERGASI Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen mara ke perlawanan akhir Liga Europa hasil kemenangan agregat 4-2 ke atas Roma selepas seri 2-2 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Bay Arena.
Pasukan Xabi Alonso yang turun dengan bekalan dua gol hasil kemenangan perlawanan pertama di Stadium Olimpico, 3 Mei lalu ketinggalan dua jaringan skuad kendalian Daniele De Rossi itu.
Dua sepakan penalti Leandro Paredes minit ke-43 dan m-66 menyamakan kedudukan agregat buat kelab dari Itali tersebut, namun gol sendiri Gianluca Mancini (m-82) dan gol penyamaan masa kecederaan Josip Stanisic (m-97) kembali mengikat perlawanan.
Keputusan seri di laman keramat Leverkusen itu bukan sahaja menghantar anak buah Alonso perlawanan akhir, tetapi juga mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 49 perlawanan yang menyalakan impian treble musim ini.
Pencapaian Leverkusen itu juga membolehkan juara Bundesliga tersebut memperbaiki rekod tanpa kalah terpanjang sejak kemunculan saingan Eropah.
Pasukan Alonso akan menentang satu lagi kelab Itali, Atalanta pada perlawanan akhir di Dublin selepas mereka menewaskan Marseille 3-0 untuk mara dengan agregat 4-1.
“Sejujurnya saya membayangkan perlawanan ini akan menjadi sesuatu yang sukar kerana di Rom ebelum ini sudah pun sukar.
“Kami ketinggalan dua gol hanya disebabkan situasi yang tidak sepatutnya, biarpun begitu saya suka reaksinya. Tahun lalu kami hampir ke final, tahun ini kami mara
“Atalanta? Roma juga sebenarnya sangat bagus dalam menyerang. Atalanta bersama Gasperini selama bertahun-tahun telah membentuk kombinasi yang mantap: ia akan menjadi bagus untuk mencabar mereka.,” kata Alonso.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!