Foto pokok kelapa jadi pilihan Apple
MARANG - Seorang anggota polis tidak menyangka gambar pokok kelapa di Pantai Rusila di sini yang dirakam sekadar suka-suka bersama rakan pada Ogos 2018 menjadi pilihan syarikat gergasi teknologi dari Amerika Syarikat, Apple.
Gambar yang dirakam Nor Azmeer Iskandar Ameer Hamzah, 28, menggunakan model iPhone XR mula tular di media sosial selepas ia dikongsi semula oleh Apple di akaun Instagram syarikat itu pada Rabu lalu.
Nor Azmeer Iskandar yang merupakan anggota polis di Balai Polis Chabang Tiga di sini berkata, pada mulanya dia tidak menduga notifikasi yang diterima daripada Apple memberitahu gambar dirakamnya itu telah dikongsi di laman Instagram rasmi syarikat itu.
“Malam semalam (kelmarin) saya terima notifikasi daripada Apple tetapi disebabkan terlalu mengantuk saya tidak membukanya.
“Selepas memeriksa telefon bimbit pada keesokannya barulah saya tahu Apple telah tag nama saya pada gambar yang dikongsi berserta keterangan gambar Right place. Right time.,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, pada November lalu, syarikat itu pernah menghantar e-mel kepadanya berkenaan gambar yang diambil dan dia tidak dimaklumkan tujuan maklumat itu diambil.
“Banyak gambar yang dirakam menggunakan telefon bimbit saya, tak sangka pula gambar yang dirakam bersama rakan sekadar untuk suka-suka itu menjadi pilihan.
“Waktu ambil gambar tu, seorang kawan telah memanjat batang kelapa itu. Walaupun dalam gambar nampak tinggi, sebenarnya pokok itu tak tinggi mana dan tidak berbahaya,” ujarnya.
Katanya, selepas gambar yang dirakamnya itu tular, pengikut di Instagramnya makin bertambah.
“Walaupun tidak menerima sebarang ganjaran, saya amat gembira sekurang-kurangnya saya dapat mempromosikan Terengganu sempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini,” katanya.
Menurutnya, dia telah menggunakan telefon pintar model iPhone sejak 2014 bermula dengan model 5S, iPhone7, XR dan terkini 11Pro.
Katanya, walaupun tidak mengikuti sebarang kelas fotografi, dia mula aktif di Instagram sejak 2013 dengan memuat naik ke media sosial gambar-gambar menarik yang dirakam.“Saya tak pernah ikuti mana-mana kelas fotografi hanya berkongsi minat yang sama dengan beberapa rakan.
“Jadi, jika ada kelapangan kami akan luangkan masa bersama-sama untuk cari tempat menarik dan merakam gambar sebagai kenangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!