[VIDEO] PH yakin mampu pertahan Kuala Kubu Baharu

A
A
A

HULU SELANGOR - Kerajaan Perpaduan yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung pada Sabtu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bersandarkan sokongan dan penerimaan baik yang diberikan pengundi terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao sepanjang tempoh kempen.

"Kempen kita jalankan Alhamdulillah lebih baik daripada peratusan yang saya lihat dari semasa ke semasa.

"Saya yakin kita boleh kekalkan Kuala Kubu dalam pilihan raya kali ini.

"Cuma kita berharap agar pengundi dapat terus mengundi terutama pada waktu pagi hari kerana dijangka sebelah petang akan berlaku cuaca yang kurang baik," katanya.

Amirudin berucap di pentas Ceramah Mega di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu pada Khamis malam.
Amirudin berucap di pentas Ceramah Mega di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu pada Khamis malam.

Beliau berkata demikian selepas ketika ditemui pemberita selepas program Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu di sini Khamis malam.

Turut hadir, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memuji kesepakatan tinggi semua parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam menjayakan kempen.

Ujarnya, kesepakatan dan kerjasama yang diberikan oleh pimpinan peringkat Pusat dan negeri menjadi inti pati penting kempen yang dijalankan PH berlangsung dengan baik.

"Kalau dari segi jumlah kempen (yang telah kita jalankan) saya buat perbandingan (dan) juga lihat jumlah yang kita turun ke bawah (bertemu akar umbi) sebenarnya jauh lebih besar (berbanding pembangkang)," katanya.

“Ini terhasil kerana ada kesepakatan daripada kepimpinan Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat Pusat mahupun di peringkat negeri,” katanya.

PRK Dewan DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!