10 mahasiswa istimewa terima sumbangan RM5,000
KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyalurkan sumbangan berjumlah keseluruhan RM5,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 10 mahasiswa istimewa.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, daripada mahasiswa terpilih itu, lima daripadanya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala lima lagi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sumbangan itu jelasnya, merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik PTPTN yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama UKM dan USIM bagi meningkatkan keupayaan golongan mahasiswa serta memartabatkan lagi sistem pendidikan tinggi di negara ini.
"Kami mengalu-alukan semua pihak untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang lebih bersepadu bersama PTPTN dengan menjadikan Simpan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebagai pilihan utama,” katanya semasa berucap pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan PTPTN 2024, di sini pada Rabu.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Lembaga Pengurusan PTPTN.
Manfaat Simpan SSPN
Pada majlis itu, PTPTN juga menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 rakan strategik yang menyumbang kepada galakan penabungan dan bayaran balik bagi tahun 2023 dan 2024 antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah, polis dan tentera.
Dalam pada itu, Norliza turut menyatakan Simpan SSPN menyediakan banyak manfaat kepada pendeposit antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif serta dijamin oleh kerajaan.
Malah, Simpan SSPN katanya turut bermotifkan galakan amalan menabung serta perancangan kewangan di peringkat awal bagi tujuan pendidikan tinggi di samping meningkatkan lagi kualiti serta taraf pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Menjadi hasrat PTPTN untuk melaksanakan reformasi minda masyarakat dari hanya bergantung kepada pinjaman kepada membudayakan penabungan agar anak-anak tidak dibelenggu hutang setelah tamat pengajian,” ujarnya.
Tambahnya, pembukaan akaun atau penambahan simpanan Simpan SSPN boleh dibuat secara mudah, selamat dan cepat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN.
Dalam perkembangan lain, Norliza dalam majlis yang sama turut menyampaikan hadiah utama Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 bagi kategori Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow yang dimenangi Ng Wei Chien, 32, dari Pulau Pinang.
Wei Chien membawa pulang RM10,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN.
“Hadiah ini saya akan terus simpan dalam Simpan SSPN kerana dividen kompetitif berbanding tabung lain dan akan meneruskannya demi masa depan," ujar Wei Chien.
Untuk maklumat lanjut, layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.
PTPTN bantu pelajar dari tercicir, buka peluang lanjut pengajian
KUALA LUMPUR - Usaha Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan sumbangan pendidikan kepada mahasiswa istimewa mampu memastikan tiada pelajar daripada golongan itu tercicir daripada meneruskan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
Seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Syaza Athirah Sailan @ Sazali, 25, berkata, sumbangan itu dapat digunakan untuk menampung kos pengajiannya di universiti dan disimpan demi masa depan.
"Saya merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran tahap ringan. Insya-ALLAH, sumbangan ini akan digunakan sebaik-baiknya. Ketika ini, saya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang al-Quran dan sunnah.
“Semoga PTPTN terus komited untuk membantu lebih ramai pelajar di luar sana agar dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Sementara itu, seorang penerima Muhamad Akmal Abdul Rahman, 22 memberitahu, dia bersama empat rakannya yang lain dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersyukur dan gembira kerana terpilih untuk menerima sumbangan daripada PTPTN.
"Sumbangan sebanyak RM500 daripada pihak PTPTN besar nilainya buat kami. Sebagai pelajar wang yang disumbangkan itu akan digunakan untuk keperluan pendidikan dan kecemasan,” ujarnya.
Bantu mahasiswa kurang mampu menerusi myWaqafPTPTN - Norliza
KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengajak semua pihak supaya memberikan sokongan penuh terhadap usaha agensi itu membantu golongan mahasiswa kurang berkemampuan menerusi inisiatif myWaqafPTPTN.
Menurut Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim, inisiatif itu penting yang mana ia bukan sahaja menggalakkan amalan berwakaf, tetapi juga membantu mahasiswa daripada golongan berkenaan mengurangkan bebanan hutang pinjaman dalam bentuk biasiswa.
Malah, setiap sumbangan wakaf yang disalurkan melalui myWaqafPTPTN layak menerima potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
"myWaqafPTPN dilaksanakan dengan kerjasama antara PTPTN dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan melancarkan dana wakaf pendidikan tinggi pada 11 Mac lalu.
"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha PTPTN mempelbagaikan sumber dana pembiayaan pendidikan PTPTN selain melalui pinjaman sedia ada. Justeru, saya harap pihak berkepentingan, rakan-rakan strategik dan para pelanggan PTPTN dapat menyokong inisiatif murni ini," katanya.
Norliza berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesra Bersama Pelanggan 2024 PTPTN di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Rabu.
Tambahnya, sejak dilancarkan, myWaqafPTPTN telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
"Alhamdulillah, hari ini sebanyak lima syarikat korporat akan menyumbang kepada myWaqafPTPTN,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!