Kilang pau diserbu guna logo halal tamat tempoh
TANJUNG MALIM - Sebuah kilang memproses pau dan kopi di sini yang telah beroperasi sejak 50 tahun lalu diserbu kerana menggunakan sijil halal tamat tempoh pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan sepasukan penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tapah dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hasil semakan ke atas pemegang-pemegang sijil halal yang masih menggunakan logo halal walaupun telah tamat tempoh sah.
Menurutnya, kilang terbabit masih menggunakan sijil halal yang telah tamat tempoh sejak bulan September 2022 walaupun telah diberikan nasihat oleh JAIPk untuk memperbaharui permohonan sijil tersebut.
"Daripada pemeriksaan tersebut, pihak KPDN telah menahan seorang lelaki tempatan yang berusia 50-an dipercayai pemilik kilang tersebut dan merakam keterangan.
"Berdasarkan keterangan yang diambil mendapati kilang pau ini telah beroperasi lebih dari 50 tahun dan mempunyai 4 cawangan.
"Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita pau dan kopi yang menggunakan logo halal tanpa diperakui oleh pihak berwibawa iaitu JAIPk," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kamalludin berkata, nilai keseluruhan barang rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM30,000 dan kes disiasat di bawah Perintah 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM500,000 boleh dikenakan manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM1,000,000.
Jelasnya, jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Kamalludin menegaskan KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan tersebut boleh menyalurkannya melalui semua platform aduan disediakan KPDN.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!