Dipenjara 24 tahun bunuh suami dengan ubat titis mata

Lana mendakwa dia tiada niat membunuh suaminya dan hanya mahu membuatkan mangsa rasa tidak selesa dengan campuran ubat titis mata tersebut.
Lana mendakwa dia tiada niat membunuh suaminya dan hanya mahu membuatkan mangsa rasa tidak selesa dengan campuran ubat titis mata tersebut.
A
A
A

COLUMBIA - Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 24 tahun selepas disabit bersalah meracun suaminya hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Lana Sue Clayton, 53, didakwa mencampurkan ubat titis mata ke dalam air minuman suaminya hingga mengakibatkan kematian Steven Clayton, 64, di kediaman mereka di Clover berhampiran Charlotte ketika kejadian antara 19 dan 21 Julai 2018.

Pada mulanya, mangsa disangka meninggal dunia secara semula jadi, namun laporan toksikologi dan autopsi menunjukkan tahap keracunan tetrahydrozoline yang ditemui dalam ubat titis mata.

"Koroner menemukan paras racun tersebut dalam sistem tubuhnya. Perkara itu menyebabkan siasatan kes dilancarkan," kata jurucakap pihak berkuasa, Trent Faris.

Pada 2016, pendakwa raya memaklumkan wanita itu turut menembak belakang kepala suaminya dengan busur silang, namun kejadian itu diletakkan sebagai satu kemalangan.

Menurut wanita itu, dia tidak berniat membunuh suaminya.

"Saya mencampurkan visine dalam minuman Calyton hanya mahu buat dia rasa tidak selesa. Saya kesal dengan perbuatan itu dan hanya mahu ditinggalkan bersendirian pada masa tersebut," ujarnya.

Jelas bekas jururawat Jabatan Hal Ehwal Veteran tersebut, dia mendapat idea menggunakan ubat titis mata itu yang tiada bau dan warna menerusi filem ditontonnya yang didakwa hanya akan menyebabkan cirit-birit.

Artikel Berkaitan:

Pendakwa raya bagaimanapun mendakwa dia membunuh mangsa kerana mahu membolot wang milik suaminya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!