Kontroversi ‘type-C’: DaRsa Fried Chicken bukan sengaja mahu cetus isu

Mohammad Faiz (tengah) bersama pengurusan tertinggi DaRsa Fried Chicken (DFC) di Rawang pada Jumaat.
Mohammad Faiz (tengah) bersama pengurusan tertinggi DaRsa Fried Chicken (DFC) di Rawang pada Jumaat.
A
A
A

RAWANG – DarSa Fried Chicken (DFC) sekali lagi menegaskan tidak berniat untuk mewujudkan kontroversi membabitkan agama dan kaum bagi memperolehi publisiti memperkenalkan rangkaian makanan segera itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ustaz Mohammad Faiz Zuhdi berkata, DFC menolak sebarang tuduhan yang mengaitkan restoran itu dengan isu perkauman atau keagamaan serta sengaja untuk membeza-bezakan pelanggannya.

Menurutnya, sebagai syarikat milik 100 peratus Bumiputera, kami terharu menerima sokongan daripada semua lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.

“Komitmen kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi selaras dengan semangat perpaduan dan saling menghormati yang merupakan asas konsep Malaysia Madani,” katanya pada sidang akhbar di cawangan restoran itu di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu penggunaan istilah ‘type-C’ oleh admin laman Facebook DFC yang telah menjadi perhatian dan tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN:Restoran makanan segera dikritik angkara 'type C'

“Kami mengambil isu ini dengan serius dan ingin menjelaskan bahawa individu tersebut tidak memiliki latihan atau pengalaman dalam mengendalikan media sosial.

“Tindakan tersebut tidak mencerminkan pandangan atau nilai-nilai yang dipegang oleh DFC. Tindakan tegas oleh pengurusan tertinggi telah memutuskan untuk memindahkan individu tersebut ke bahagian lain.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan yang berlaku, serta memohon maaf kepada semua yang terkesan mahupun tergores hati dan berjanji bahawa insiden seperti ini tidak akan berulang di masa depan,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai tindakan proaktif, DFC telah membentuk satu pasukan yang berpengalaman untuk mengurus dan memastikan pengurusan komunikasi serta media sosial yang lebih berkesan.

“Pengurusan tertinggi DFC kini melakukan pemantauan yang lebih ketat terhadap semua kandungan, maklum balas, dan komen yang dihasilkan oleh pasukan ini.

“Setiap hantaran dan maklum balas harus terlebih dahulu mendapat kelulusan dari pengurusan tertinggi sebelum disiarkan, untuk memastikan kesesuaian dan kepatuhan terhadap standard etika kami,” katanya.

Jelas Mohammad Faiz, pihaknya juga bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa jika sekiranya diperlukan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan pihak tertentu yang didakwa cuba mensabotaj DFC sejak hari pertama restoran itu dibuka, Mohammad Faiz berkata, wujud pihak tertentu yang mendaftarkan alamat DFC sebagai restoran makanan Cina dalam carian Google dan mencipta akaun Facebook palsu dengan menggunakan nama DarSa Fried Chicken.

“Individu ini juga bertindak mengubah waktu operasi kami di Google berkali-kali sehingga menyebabkan kekeliruan di kalangan pelanggan kami.

“Lebih parah lagi, tindakan mereka cuba mencetuskan sentimen perkauman dan cuba mengaitkan DFC dengan isu sensitif yang berkaitan dengan kaum.

“Kami telah ambil langkah dengan meminta Facebook untuk menutup akaun palsu tersebut, tetapi masih belum menerima sebarang maklumbalas,” katanya.

Jelasnya, pelanggan boleh mengikuti akaun rasmi kami, DarSa Fried Chicken Official di Facebook, untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!