Faisal Halim sudah boleh berjalan

Faisal Halim
Faisal Halim
A
A
A

PEMAIN negara, Faisal Halim menunjukkan perkembangan yang amat positif apabila menunjukkan tanda ceria selepas menjalani pembedahan ketiga melibatkan prosedur 'skin allograft' di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Khamis.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pemain berusia 26 tahun itu tidak mahu duduk diam di dalam bilik apabila sudah boleh berjalan tanpa bantuan pada Jumaat.

"Alhamdulillah, Faisal kembali ceria, malah saya lebih seronok dia mula berjalan dalam bilik, pergi ke bilik air dengan sendiri. Saya teruja dan ini perkembangan yang amat positif.

"Dia betul-betul bersemangat, itu sangat membanggakan. Mickey sentiasa jadi Mickey cuma pergerakannya agak terbatas dengan balutan di badannya," katanya ketika ditemui media di pekarangan sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair.

Shahril (kanan) dan Dr Hazwan ketika ditemui media di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Jumaat.
Shahril (kanan) dan Dr Hazwan ketika ditemui media di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Jumaat.

Faisal yang mengalami lecur tahap empat akibat disimbah asid sulfurik pekat menjalani pembedahan ketiga selama tiga jam lewat petang Khamis.

Shahril yang juga Ahli Lembaga Pengarah SFC menjelaskan prosedur skin allograft yang diimport dari Belgium itu melibatkan tampalan kulit di bahagian anggota Faisal yang melecur.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan bahagian rusuk dan tangan kiri. Ia seperti tanam rumput, bukan letak satu padang tapi di bahagian tertentu dan ia akan grow perlahan-lahan bergantung kepada kondisi badan Faisal.

"Dia akan berada kira-kira tujuh hari dalam ICU dan kalau sesuai dan mendapat kebenaran doktor, kita akan pindahkannya ke Unit Dependensi Tinggi (HDU) dalam seminggu dua lagi," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hazwan memberitahu, proses pemulihan Faisal selepas menjalani pembedahan ketiga tersebut bergantung kepada anggota badan pemain itu bertindak.

"Biar badan (Faisal) buat kerjanya. Doktor akan pantau dari semasa ke semasa. Kondisi badan Faisal perlu dijaga dengan teliti bagi mengelak sebarang komplikasi

"Prosedur (pembedahan) seterusnya memang dirancang kerana ia termasuk dalam proses pemulihan pemain itu. Perkara ini sudah dibincang bersama doktor pakar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!