Pemerasan RM1.25 juta: Tujuh polis dikenakan tindakan bawah SOSMA
KUALA LUMPUR - Tujuh anggota polis termasuk seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP) yang disiasat berkait kes pemerasan RM1.25 juta kini diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Selain ACP, turut disiasat seorang Deputi Superintenden (DSP), tiga Inspektor dan masing-masing seorang Sarjan serta Lans Koperal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tujuh anggota polis itu kini direman selama 28 hari mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012 bermula Khamis sehingga sehingga 5 Jun depan.
"Hasil daripada risikan dan siasatan dijalankan mendapati mereka ini dipercayai bertindak secara bersama untuk melakukan jenayah kesalahan serius dengan tujuan untuk mendapatkan faedah.
"Justeru, penahanan ini bagi membantu siasatan lanjut dijalankan pihak polis sekiranya terdapat elemen lain," katanya pada Jumaat.
Tambah beliau, seorang lagi pegawai polis berpangkat Inspektor juga ditahan selepas menyerah diri pada Khamis.
"Pegawai ini ditahan mengikut Seksyen 4(1) SOSMA 2012 dan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini (Jumaat)," ujarnya.
Pada 3 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan tiga pegawai berpangkat ACP, DSP dan Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes pemerasan terbabit.
Siasatan kes terbabit dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!