[VIDEO] 'Doakan Faisal pulang sebelum Aidiladha'
"SAYA nak balik."
Demikian luahan Faisal Halim selepas pemain Selangor FC (SFC) itu selesai menjalani pembedahan ketiga di sebuah hospital swasta di Shah Alam lewat petang Khamis.
Perkembangan tersebut dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar ketika ditemui media di pekarangan hospital berkenaan selepas melawat pemain itu pada Jumaat.
Beliau berkata, pemain berusia 26 tahun itu menunjukkan perkembangan yang amat baik selepas menjalani prosedur di bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan tersebut.
"Dia 'steady' dan kata, saya nak balik. Semangat dia begitu kuat sebab dia memang seorang yang aktif dan pemain bola sepak," katanya.
Faisal yang mengalami lecur tahap empat akibat disimbah asid sulfurik pekat menjalani pembedahan ketiga membabitkan prosedur 'skin allograft' yang berlangsung selama kira-kira tiga jam pada petang Khamis.
Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC percaya pemain itu dapat pulih lebih cepat dan situasi itu dibantu dengan kecekalan dan ketabahan ditunjukkan Faisal sepanjang menjalani rawatan setakat ini.
Malah doktor juga gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh pemain itu kerana ia berbeza dengan pesakit lain yang pernah pegawai perubatan itu rawat.
"Faisal ini istimewa dengan tempoh pemulihannya agak cepat. Kita berdoa semoga dia dapat pulih lebih cepat walaupun kita tahu perkara ini memang akan mengambil masa sedikit.
"Harapan saya adalah dia dapat pulang masa Hari Raya Haji nanti," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!