Terakam kelibat buaya ketika beriadah di Pantai Pulau Kekabu
MARANG - Seorang lelaki tidak menyangka bentuk seakan kayu terapung yang dirakam ketika beriadah di pantai Pantai Pulau Kekabu di sini adalah seekor buaya yang sedang berenang berdekatan benteng pemecah ombak.
Video berdurasi 28 saat itu dimuat naik oleh Saiful Rizam Ghani, 31, di media sosialnya sekitar jam 8 pagi ketika beriadah di pantai berkenaan seorang diri pada pagi Jumaat.
"Sebelum nampak buaya tu saya sedang berjoging dan berehat sekejap untuk rakam keindahan kawasan pantai. Tiba-tiba saya ternampak kelibat benda bergerak dalam air dan terus merakam video pergerakannya.
"Memang berdebar-debar ketika itu kerana ini adalah kali pertama melihat buaya air masin di depan mata.
"Buaya tu hanya mengikut arus dan menghala ke arah Pantai Seberang Marang. Mungkin ia tersesat dari habitat asalnya tapi saiznya memang sangat besar," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Saiful Rizam yang tinggal di Kedai Buloh berkata, setiap pagi dia tidak melepaskan peluang untuk berjoging kerana ia adalah hobi yang menjadi aktiviti rutin hariannya terutama pada hujung minggu.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka akan terserempak dengan buaya air masin itu.
"Niat saya muat naik hantaran di media sosial supaya orang ramai lebih berwaspada dan berhati-hati jika melakukan sebarang aktiviti di tepi pantai.
"Ia bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sebab haiwan ini sudah kerap kali dilihat berada di sekitar kawasan pantai di Terengganu," katanya.
Kemunculan buaya tersebut menarik perhatian ramai kerana ia dikatakan buaya sama yang dilihat di Pantai Seberang Takir dan berenang berdekatan Jambatan Angkat di Kuala Terengganu sebelum ini.
Bagaimanapun, orang ramai meluahkan rasa bimbang susulan penularan video tersebut kerana haiwan itu berada berdekatan kawasan tumpuan ramai.
Kebanyakan daripada mereka meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan ahli keluarga terutama golongan pemancing memandangkan buaya itu masih belum ditangkap.
"Makin kerap buaya muncul di kawasan pantai musim ini," tulis Suhaila Sue.
Sementara itu, Nik Muhamad Izwan berkata, dia bimbang untuk beriadah dan bermain air laut di tepi pantai selepas melihat video tersebut.
"Risau nak main bira (tepi) pantai. Kang (nanti) bahang (gigit) demo (ia), tak celup mana kaki pahnim (selepas ni)," luahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline Seorang lelaki tidak menyangka bentuk seakan kayu terapung yang dirakam ketika beriadah di pantai Pantai Pulau Kekabu, Marang adalah seekor buaya yang sedang berenang berdekatan benteng pemecah ombak. Video berdurasi 28 saat itu dimuat naik oleh Saiful Rizam Ghani, 31, di media sosialnya sekitar jam 8 pagi ketika beriadah di pantai berkenaan seorang diri pada pagi Jumaat. #SinarHarian#SinarTerkini#video#Viral#buaya#Marang#Terengganu original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!