Tiga remaja sesat di Gunung Keriang tiada kaitan mistik
ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kes tiga remaja yang sesat di Gunung Keriang pada Rabu didakwa tiada kaitan dengan unsur mistik batu kristal di gunung berketinggian 218 meter itu.
Pencari batu kristal, Mahadi Mat Akhir, 58, berkata, selama 40 tahun terlibat dalam aktiviti mencari batu kristal di gunung terbabit, dia tidak pernah mengalami kejadian mistik.
"Kalau dikatakan batu kristal itu ada penjaga, mesti saya dulu yang kena.
"Dalam gua itu pun saya pernah tidur, tak ada pula apa-apa gangguan," katanya ketika ditemui di kedai barangan kristal miliknya di kaki Gunung Keriang di sini pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak jumpa jalan keluar selepas cari batu kristal di Gunung Keriang
Menurutnya, kejadian sesat terbabit berlaku kerana remaja-remaja berkenaan tidak menggunakan jurupandu ketika masuk ke gua berkenaan.
"Nak masuk gua ni kena ada jurupandu, saya ada bertanya kepada salah seorang remaja berkenaan, katanya dia sudah dua kali masuk ke gua terbabit sebelum ini menyebabkan dia berani mengajak dua lagi rakannya masuk pada hari itu.
"Saya sendiri walaupun sudah 40 tahun keluar masuk gua, tetap juga sesat, tetapi tak apa lah saya memang dah biasa, jadi boleh cari jalan keluar sendiri," katanya.
Mahadi berkata, adab dan perilaku ketika mendaki gunung atau masuk hutan juga perlu dijaga untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
"Nak masuk tempat orang kena jaga adab, mulut jangan celupar, jangan seronok sangat. Nak ambil gambar pun ambil la tapi jangan sesuka hati bawa balik apa-apa yang bukan milik kita.
"Sebagai pencari batu, kami tahu batu kristal di situ ada kawasan yang boleh diambil dan ada yang tak boleh diambil, bukan semua sama," ujarnya.
Jelasnya yang turut bersama dalam operasi pencarian pada Rabu, gunung seluas tiga kilometer itu sering menjadi tumpuan pendaki setiap hujung minggu.
"Jumaat sehingga Ahad memang ramai orang mai sini, dari pagi sampai ke petang. Kejadian pendaki sesat ada juga berlaku sebelum ini tetapi jarang- jarang sekali.
"Seperti saya pesan,jaga adab, kalau tak yakin takut sesat boleh guna jurupandu atau naik dengan orang yang berpengalaman jangan pandai-pandai sendiri," ujarnya.
Mahadi yang juga penduduk Kampung Gunung Hilir berkata, dia berharap kes tiga remaja itu tidak menjadi penghalang untuk orang ramai mendaki Gunung Keriang.
"Jangan takut untuk datang mendaki di sini, yang penting amalkan nasihat yang saya katakan itu, Insya -ALLAH tiada apa-apa masalah," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!