Diplomasi orang utan perlu diteliti

Diplomasi orang utan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum hasrat tersebut diteruskan. Foto ihsan Facebook Pulau Orang Utan Bukit Merah
Diplomasi orang utan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum hasrat tersebut diteruskan. Foto ihsan Facebook Pulau Orang Utan Bukit Merah
A
A
A

IPOH - Hasrat kerajaan untuk memperkenal diplomasi orang utan kepada negara dagang sawit perlu diteliti sebelum keputusan mengenainya diteruskan.

Ketua Pengurusan Pulau Orang Utan Bukit Merah, Norhafizi Mohd Hafizudin berkata, sebelum perkara itu dilaksanakan, kesemua pakar berkaitan dan pihak berwajib perlu berbincang berhubung hasrat berkenaan.

Beliau berkata, ia penting bagi membolehkan satu garis panduan ditetapkan agar hasrat itu tidak melanggar akta dan undang-undang negara mahupun antarabangsa.

"Saya berpandangan program tersebut wajar dilaksanakan dengan konsep diplomasi seperti yang diperkenalkan oleh diplomasi panda iaitu dengan menempatkan orang utan di tempat yang sewajarnya.

"Namun, pihak berwajib haruslah meneliti dan berbincang terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil supaya tidak melanggar hak dan konsep memulihara spesis terancam," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Norhafizi berkata, pihak Yayasan Pulau Orang Utan bersedia memberikan pandangan dan nasihat yang berkaitan jika program tersebut perlu dilaksanakan.

Katanya, kepakaran dan pandangan yang akan diberikan bertujuan memastikan kelangsungan dan kebajikan orang utan.

"Sekiranya program ini perlu dilaksanakan, pihak Yayasan bersedia untuk memberikan pandangan yang berkaitan demi kelangsungan dan kebajikan orang utan

Artikel Berkaitan:

"Namun, perlu ditegaskan bahawa pemuliharaan berkonsepkan in-situ iaitu yang dijalankan di habitat sebenar adalah yang terbaik demi kelangsungan orang utan," katanya.

Untuk rekod, Pulau Orang Utan Bukit Merah mempunyai sebanyak 14 ekor.

Pada Rabu, media melaporkan Malaysia berhasrat memperkenalkan 'diplomasi orang utan' kepada negara dagang sawit yang secara langsung membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa negara ini sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu sebagai strategi diplomasi dan Malaysia akan menjadikannya sebagai hadiah kepada rakan dagang selain mengukuhkan hubungan luar, terutama dengan negara pengimport utama seperti Kesatuan Eropah (EU), India dan China.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!