DUN Sarawak beri penghormatan terakhir kepada Mutang Tagal
KUCHING - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari memberi penghormatan terakhir kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pagi tadi.
Timbalan Speaker, Datuk Idris Buang meminta ahli Dewan supaya bertafakur selama satu minit.
"Dengan rasa sedih dan dukacita, saya ingin mengumumkan Datuk Mutang meninggal dunia ketika kita sedang bersidang pagi tadi.
"Saya dengan rendah hati memohon semua ahli Yang Berhormat memberikan penghormatan kepada mendiang Mutang dengan bertafakur selama seminit dan berdoa mengikut kepercayaan masing-masing," katanya.
Mutang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 11.46 pagi.
Beliau berusia 69 tahun.
Mutang menerima rawatan di IJN sejurus tiba dari Azerbaijan pada Isnin lepas, setelah melakukan lawatan kerja ke negara itu bermula 29 April dan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.
Mendiang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku.
Pada 19 Febuari lepas, Mutang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang menjadi Speaker Dewan Negara. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!