Pengguna lega kadar tol PLUS dikurangkan 18 peratus

Lebuhraya PLUS. - Foto Bernama
Lebuhraya PLUS. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan untuk tidak menjual Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Berhad dan mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus melegakan banyak pihak terutamanya pengguna.

Pengumuman itu sekali gus melenyapkan desas-desus mengenai penjualan syarikat konsesi terbesar negara itu dan isu pengambilalihan PLUS yang menarik minat sekurang-kurangnya lima pembida termasuk Maju Holding Sdn Bhd dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad serta rakan kongsi, Datuk Wong Gian Kui.

Pakar Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menyifatkan keputusan tidak menjual PLUS sebagai langkah positif memandangkan syarikat konsesi lebuh raya terbesar itu adalah khazanah penting negara.

“Malaysia berjaya menjadikan PLUS sebagai projek mega berdaya maju dan sekiranya PLUS dijual, ia merupakan usaha yang agak kurang produktif kerana ia telah melibatkan pelaburan yang tinggi sebelum ini.

"PLUS juga merupakan satu sumber yang berpotensi sama seperti Petronas, dan berbanding Petronas yang bergantung pada sumber asli, Plus mempunyai kelebihan dari segi pengguna yang menggunakan perkhidmatannya,” katanya kepada Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebuhraya PLUS, tujuh yang lain kurang kadar tol mulai 1 Februari

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan menjual Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Malaysia Berhad tetapi telah memutuskan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata pengurangan kadar tol itu akan bermula seawal 1 Feb depan dengan tiada kenaikan kadar tol sehingga 2058.

Artikel Berkaitan:

Lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, dengan pengurangan kadar tol pula, PLUS menghadapi cabaran baharu bagi mengekalkan daya maju dan kelangsungan syarikat tersebut.

“Tidak dinafikan PLUS sudah mula menjana sumber pendapatan selain daripada kutipan tol, contohnya pengiklanan di sepanjang lebuh raya, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan penanaman pokok kayu jati di sepanjang lebuh raya.

"Mungkin bagi aspek jangka panjang, PLUS boleh mengendalikan stesen minyaknya tersendiri, atau membina dan menambah hotel untuk menarik pengguna lebuh raya bagi berehat dan sebagainya. PLUS perlu memikirkan alternatif lain untuk kesan jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengurangan kadar tol sudah tentu menggembirakan pengguna walaupun harapan sebenar rakyat adalah tol dimansuhkan sama sekali.

"Memang (pengurangan) dialu-alukan berbanding dimansuhkan dan ia melegakan pengguna. Namun kerajaan perlu melihat kesan jangka panjang apabila kadar tol ini dikurangkan kerana rakyat terpaksa membayar tol dalam tempoh jangka panjang.

"Bagaimanapun, rakyat kena faham lebuh raya ini ada kos penyelenggaraannya tersendiri. Jika tidak ada pembayaran tol, siapa hendak tanggung kos tersebut? Kita akan lihat jalan semakin teruk dan kawasan R&R tidak terjaga,” katanya.

Mohd Yusof berkata, dengan adanya kadar tol, adalah menjadi tanggungjawab pihak konsesi memastikan kondisi lebuh raya berada dalam keadaan baik dan saya rasa, ini adalah satu kebaikan (bayaran tol).

Dalam pada itu, seorang pengguna Lebuhraya PLUS, Nur Athirah Saifuddin, 25, berkata, pengurangan kadar tol itu berbaloi bagi perjalanan jauh terutama ketika musim perayaan atau pulang ke kampung pada hujung minggu.

"Bagi ibu bapa yang mempunyai anak belajar di sekolah berasrama, pengurangan ini akan mengurangkan beban kewangan mereka yang perlu melawat anak mereka pada hujung minggu atau setiap bulan.

Seorang pengguna M Nathan berkata, biarpun tiada pemansuhan sepenuhnya, namun beliau tetap bersyukur atas inisiatif kerajaan memandangkan jarak tempat tinggal sekarang dan kampungnya jauh.

“Setiap kali balik ke Perak, lebih RM100 diperlukan bagi membayar tol pergi-balik. Bukan hendak berkira namun memikirkan perbelanjaan lain seperti duit minyak, kadar sedia ada membebankan,” katanya yang menetap di Skudai, Johor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!